B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


MIDA sambut baik pelan Microsoft dalam inisiatif bersama Malaysia

MIDA sambut baik pelan Microsoft dalam inisiatif bersama Malaysia

20 Apr 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyambut baik pelan Microsoft Corp untuk menubuhkan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan mempercepatkan inovasi negara dalam teknologi awan.

Agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan itu yakin inisiatif Bersama Malaysia Microsoft akan menjadi pemacu kepada agenda digital pertama negara sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL negara, selain meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata pelaburan Microsoft dengan pusat data serantau pertamanya di negara ini menjadi bukti kukuh terhadap dasar pelaburan Malaysia yang pro-perniagaan, pro-perdagangan dan mesra perniagaan.

“Kehadiran Microsoft, penggiat teknologi global, mengembangkan kedudukannya dalam infrastruktur digital di Malaysia membantu membentuk tulang belakang untuk ekosistem digital yang mampan.

“Aspek paling penting, komitmen Microsoft melalui infrastruktur digital bertaraf dunia akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih tinggi untuk maju ke arah negara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA berkata pusat data serantau Microsoft yang akan datang dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, kerajaan dan masyarakat dalam semua sektor, selain pengguna akan mendapat akses yang cepat kepada perkhidmatan awan paling maju Microsoft serta kemampuan untuk menyimpan data dan aplikasi di negara ini.

Pusat data serantau tempatan itu akan terdiri daripada pusat data yang terletak di Greater Kuala Lumpur, beroperasi dalam perimeter yang ditentukan latensi dan dihubungkan melalui rangkaian latensi rendah yang khusus.

“Kami akan terus menyokong usaha Microsoft di Malaysia, terutamanya dalam mentransformasikan landskap digital, infrastruktur dan tenaga kerja mahir negara, sekali gus meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan teknologi tinggi,” kata Arham.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman berkata: “Kami berasa rendah hati dengan sokongan yang diberikan oleh MIDA dan kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama kami dalam merealisasikan aspirasi digital inklusif Malaysia.”

Inisiatif Bersama Malaysia Microsoft telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin dengan pusat data serantau pertama itu melibatkan pelaburan sekurang-kurangnya US$1 bilion (US$1= RM4.1180) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penubuhan itu dijangka mewujudkan 19,000 pekerjaan, termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan IT dalam kalangan pengguna awan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X