Malaysia utamakan teknologi digital - Microsoft - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia utamakan teknologi digital – Microsoft

Malaysia utamakan teknologi digital – Microsoft

19 Apr 2021

Microsoft Corporation (Microsoft) melihat potensi besar dalam masa depan Malaysia yang memberi keutamaan kepada teknologi digital.

Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Microsoft Global Sales, Jean-Philippe Courtois, berkata ini mendorong syarikat multinasional itu menubuhkan pusat data serantau pertamanya di negara ini, bernilai RM4 bilion, melalui insentif Bersama Malaysia.

Katanya, beliau kagum dengan kekuatan Malaysia dalam kepelbagaian serta komitmen negara untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Kami menyokong penuh cita-cita digital diutamakan Malaysia ini. Tema kita hari ini ialah Bersama Malaysia, mencerminkan komitmen jangka panjang kami di negara ini.

“Microsoft berbangga berada di Malaysia selama hampir 30 tahun ini dan menjangka akan terus memperkukuh perkongsian ini untuk memperkasa ekonomi digital inklusif negara ini,” katanya hari ini.

Beliau berucap pada pelancaran Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Courtois berkata, penubuhan pusat data serantau pertama di Malaysia itu bakal menjadi pengubah keadaan kepada ekonomi tempatan.

Katanya, ia bakal membolehkan perniagaan di Malaysia memanfaatkan perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) internet benda (IoT), ‘edge solutions’ dan, data bagi memperkasa pekerja, membabitkan pelanggan, mengubah produk dan mengoptimum operasi melalui rangkaian pengalaman.

“Mereka juga boleh menyimpan data di Malaysia, dengan keselamatan dan kerahsiaan data dipertingkat,” katanya.

Microsoft turut melihat keperluan memperkasa sumber manusia dalam tenaga kerja digital Malaysia.

Courtois berkata, lebih banyak pekerjaan akan memerlukan kemahiran digital pada masa hadapan, dan pihaknya komited untuk memberi kemahiran kepada sejuta rakyat Malaysia, sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia menjelang Disember 2023.

“Kami berkongsi visi MyDIGITAL kerajaan, iaitu ekonomi digital akan berjaya apabila setiap orang mempunyai peluang sama untuk berjaya,” katanya.

Untuk itu, Courtois berkata, Microsoft akan mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia serta Grab Malaysia, selain kerjasama dengan pertubuhan bukan berkeuntungan bagi memastikan penyertaan digital seperti Junior Achievement Malaysia, Biji-biji Enterprise dan pasukan Bolasepak Orang Buta Kebangsaan.

Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan dan tenaga pengajar di negara ini untuk memperkasa pelajar dengan kemahiran digital.

Courtois berkata, Microsoft dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan memberi akses teknologi Mircosoft kepada 5.2 juta pelajar serta tenaga pengajar dan bekerjasama dengan 10 universiti tempatan, bagi mengintegrasi kandungan industri Microsoft ke dalam kurikulum.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon