B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA kenal pasti 352 projek pelaburan asing bernilai kira-kira RM39 bilion – Azmin

MIDA kenal pasti 352 projek pelaburan asing bernilai kira-kira RM39 bilion – Azmin

08 Mac 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 352 projek pelaburan asing berprofil tinggi setakat akhir tahun lepas dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan termasuk syarikat tersenarai dalam Fortune 500 dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM39.2 bilion.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek-projek itu akan mewujudkan lebih 19,000 pekerjaan baharu.

Beliau berkata pelaburan yang dicadangkan adalah dalam bidang seperti aeroangkasa, kenderaan elektrik, mesin dan peralatan, elektronik maju, tenaga boleh diperbaharui, farmaseutikal, peranti perubatan dan keselamatan makanan.

“Walaupun 2021 adalah tahun cabaran ekonomi yang unik, Malaysia kekal kukuh dalam asasnya sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini dan bersedia untuk memulihkan dan memajukan negara pasca-pandemik,” katanya pada Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2022, di sini hari ini.

“Melangkah ke hadapan dalam tahun baharu menuju ke arah pemulihan ekonomi disokong oleh pembaharuan dasar, pelaksanaan program vaksinasi berkesan dan pendigitalan yang dipercepatkan, kerajaan terus komited untuk mengutamakan keperluan rakyat dan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Azmin  berkata  Malaysia akan terus dipengaruhi oleh dinamika geopolitik, halangan ekonomi serta usaha  berterusan menangani pandemik dan pada masa yang sama beliau turut memberi amaran mengenai ketidaktentuan yang akan berlaku pada masa depan.

“Malaysia akan terus maju dengan dasar kukuh, ia akan meningkatkan lagi trajektori positif yang kita hadapi. Aspirasi Pelaburan Nasional bersedia akan menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu,” katanya.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022-2033 akan terus memacu industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan supaya negara dapat merealisasikan sepenuhnya faedah peralihan ke Industri 4.0, kata Azmin.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon