B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia utamakan pelaburan dalam infrastruktur digital – Fahmi

Malaysia utamakan pelaburan dalam infrastruktur digital – Fahmi

07 Sep 2023

Pelaburan dalam infrastruktur digital telah menjadi keutamaan di Malaysia, seperti yang dapat dilihat daripada langkah-langkah yang dibuat untuk meningkatkan ketersambungan jalur lebar dan pelaksanaan rangkaian 5G yang sedang dijalankan di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di Malaysia telah mencecah 68.8 peratus setakat 31 Ogos lepas.

“Asas infrastruktur digital penting untuk menyokong pertumbuhan teknologi yang sedang pesat membangun seperti kecerdasan buatan, realiti maya, pengkomputeran awan, Internet of Things dan blockchain,” katanya dalam ucaptama pada GSMA Mobile 360 APAC dan Forum Pemimpin Dasar 2023 di sini hari ini.

Katanya bagi memenuhi keperluan infrastruktur negara, Pelan Jalinan Digital Negara, atau lebih dikenali sebagai JENDELA, dilancarkan sebagai platform untuk memastikan Malaysia bersedia untuk peralihan kepada teknologi 5G yang akan datang dan terus mempunyai pertumbuhan digital negara yang lancar.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertanggungjawab untuk memacu transformasi digital melalui pembinaan infrastruktur digital bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk ekonomi digital.

“Malaysia dengan sukacitanya melaporkan bahawa setakat suku kedua 2023, kira-kira 8.03 juta premis mempunyai akses kepada jalur lebar fiber manakala 97 peratus daripada semua kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada rangkaian 4G,” katanya.

Menurut Fahmi, ekonomi digital menjadi antara tonggak ekonomi utama Malaysia, menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2021.

“Sumbangan ini dijangka mencecah 25.5 peratus pada tahun 2025 atau lebih RM382 bilion,” katanya.

Fahmi turut menekankan bahawa laluan untuk membina negara digital inklusif bukan hanya mengenai teknologi.

“Ia melibatkan soal kesaksamaan, keadilan dan kemajuan sosial,” katanya.

Beliau berkata ia melibatkan penggubalan dasar yang menggalakkan celik digital, memperluas akses kepada Internet berkelajuan tinggi dan menggalakkan persekitaran yang inovasi berkembang.

“Ini bermakna mengutamakan keperluan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan yang memerlukan serta mewujudkan laluan untuk mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam ekonomi digital,” katanya.

Katanya konsep keterangkuman merangkumi visi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat saksama yang menekankan pengagihan kekayaan dan sumber yang lebih adil.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon