Syarikat permainan video Korea Selatan NX3 Games berhasrat buka ibu pejabat di Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat permainan video Korea Selatan NX3 Games berhasrat buka ibu pejabat di Malaysia

Syarikat permainan video Korea Selatan NX3 Games berhasrat buka ibu pejabat di Malaysia

07 Sep 2023

Syarikat permainan video Korea Selatan, NX3 Games, menyatakan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Malaysia dan menyasar membuka ibu pejabat wilayah mereka di Kuala Lumpur tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dizahirkan oleh pengurusan NX3 Games sempena lawatan kerja beliau ke ibu pejabat syarikat permainan video itu, di sini.

Beliau berkata perbincangan bersama pihak NX3 Games menghasilkan satu lagi potensi pelaburan ekonomi digital untuk negara menerusi kaedah tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi negara pilihan untuk NX3 Games mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat ini, syarikat Korea Selatan itu hanya melebarkan sayap mereka ke Amerika Syarikat. Insya-Allah Malaysia bakal menjadi negara kedua yang dipilih mereka sebagai destinasi pelaburan.

“Perbincangan juga termasuk kerjasama antara NX3 Games dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang saya lihat bakal membuahkan hasil apabila mereka mengembangkan tapak mereka di rantau Asean dan meletakkan Malaysia sebagai ibu pejabat,“ katanya kepada Bernama.

Menurut Fahmi, tiga unit yang akan menjadi fokus NX3 Games di Malaysia ialah penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta rekaan kandungan.

Sementara itu, ketua pegawai kandungan NX3 Games, Terrence Kim berkata syarikat itu amat berminat untuk mengembangkan operasinya di Malaysia kerana ia melihat banyak potensi untuk dipertimbangkan dalam industri permainan.

“Kami teruja dengan peluang untuk berkembang di Kuala Lumpur. Kami masih lagi di peringkat perbincangan tetapi petunjuknya sudah ada.

“Menteri, MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membantu kami untuk memuktamadkannya secepat mungkin,“ katanya.

Sementara itu, Fahmi juga mengadakan lawatan ke syarikat gergasi permainan video Korea Selatan, Smilegate, yang turut berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama mereka di Malaysia.

Menerusi perbincangan bersama pengurusan tertinggi Smilegate yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya, Sung Joon Ho, Fahmi turut menjemput syarikat tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan sekiranya ingin mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat ini, Smilegate mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dengan MDEC dan turut bertemu ketika persidangan Game Developers Conference 2023, baru-baru ini.

“Insya-Allah usaha sama ini akan diteruskan sekali gus melonjakkan lagi sektor ekonomi digital di Malaysia,“ katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon