B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, UK tumpu bidang teknologi baharu, pelaburan ekonomi digital

Malaysia, UK tumpu bidang teknologi baharu, pelaburan ekonomi digital

29 Sep 2022

Malaysia dan United Kingdom (UK) bersetuju untuk memberi tumpuan kepada teknologi baharu muncul termasuk ekonomi digital dan keselamatan siber semasa pertemuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Teknologi dan Ekonomi Digital UK Damian Collins pada Rabu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Ma. Sivanesan berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara kedua-dua menteri hari ini, yang diadakan di luar Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania yang berlangsung dari 26 September hingga 14 Oktober.

Annuar ialah ketua delegasi Malaysia ke ITU PP2.

“Mesyuarat itu juga memberi tumpuan kepada pelaburan dalam industri teknologi digital kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama, pada Rabu.

Sementara itu, Sivanesan berkata Malaysia dan Somalia bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang keselamatan siber, dengan Cyber Security Malaysia (CSM) menyediakan latihan dan kepakaran berkaitan.

Beliau berkata ia antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat dua hala Annuar dengan Menteri Komunikasi dan Teknologi, Somalia, Jama Hassan Khalif.

Dalam mesyuarat tersebut, Sivanesan berkata Somalia telah berkongsi mengenai situasi semasa ekonomi dan pembangunan selain menjemput Malaysia untuk meninjau peluang pelaburan termasuk dalam sektor minyak dan gas.

“Malaysia pula telah berkongsi maklumat berhubung kedudukan semasa kesalinghubungan infrastruktur termasuk perancangan untuk mencapai 100 peratus liputan internet menjelang 2025 dan inisiatif bagi melengkapkan rakyat Malaysia dengan keupayaan digital melalui pelbagai inisiatif di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Ini termasuk perkongsian mengenai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) bagi memastikan peluang kepada masyarakat yang tiada akses kepada kemudahan internet dan peranti serta terlibat sama dalam ekonomi digital,” katanya.

Mesyuarat dua hala bersama Jama Hassan adalah antara empat pertemuan Annuar yang mengetuai delegasi ITU PP22, bersama rakan sejawatan dari UK, China dan Solomon Islands pada Rabu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon