Malaysia, China Meterai Kerjasama Telekomunikasi Digital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, China Meterai Kerjasama Telekomunikasi Digital

Malaysia, China Meterai Kerjasama Telekomunikasi Digital

28 Sep 2022

Malaysia dan China semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersempena Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) yang berlangsung dari 26 September lepas hingga 14 Oktober ini di Romania.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata memorandum itu ditandatangani beliau dan Timbalan Menteri Industri dan Informasi Teknologi China Zhang Yunming. 

“Antara bidang kerjasama yang dipersetujui Malaysia dan China melalui MoU ini adalah berkenaan 5G, ekonomi digital dan keselamatan siber,” kata beliau dalam kenyataan. 

Beliau berkata susulan pemeteraian MoU mengenai kerjasama telekomunikasi digital berkenaan, kedua-dua negara dijangka menerokai potensi kerjasama dalam teknologi aplikasi 5G, selain menggalakkan kerjasama dalam e-dagang, inovasi syarikat pemula, pengkomputeran awan, data raya, kecerdasan buatan, Internet Benda, aplikasi Internet dan teknologi digital lain.

Menurutnya kerjasama lain ialah dalam polisi, piawaian, tindak balas kecemasan, teknologi sekuriti data, latihan serta kesedaran berkaitan keselamatan siber.  

Tambah beliau kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah kepada Malaysia dengan mengambil kira perkembangan pesat industri teknologi maklumat di China dan kedua-dua negara dapat menimba ilmu pengetahuan serta kepakaran dalam bidang 5G, keselamatan siber dan ekonomi digital.

Annuar berkata kerjasama China untuk berkongsi amalan terbaik, pengalaman dan kepakaran melalui inisiatif bersama dapat membantu meningkatkan kepantasan serta kesiapsiagaan ekosistem keselamatan siber dan pendigitalan negara terutamanya dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0.

Menurutnya komitmen pertukaran ilmu pengetahuan dan amalan terbaik antara kedua-dua negara bukan sahaja mampu mempertingkatkan daya saing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi digital negara, malah ia berupaya bertindak sebagai faktor penarik kepada pelaburan pembinaan modal insan dan penyelidikan. 

Beliau berkata hubungan kerjasama ini akan membantu Malaysia memperkasakan ekosistem ekonomi digital yang secara tidak langsung merangsang pertumbuhan ekonomi digital tempatan dan menyumbang kepada ekonomi negara pada masa hadapan sejajar dengan agenda menjadikan Malaysia hab industri berteknologi tinggi. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon