B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia terus jadi destinasi pelaburan kompetitif: Azmin

Malaysia terus jadi destinasi pelaburan kompetitif: Azmin

02 Mac 2021

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dalam persekitaran tidak menentu, ia terbukti menerusi kedudukannya dalam kancah ekonomi global, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin dalam satu kenyataaan semalam berkata DHL Global Connectedness Index (GCI) 2020 telah meletakkan Malaysia di tempat kedua antara negara-negara Asia Pasifik dan ke-16 daripada 169 negara untuk hubungan perdagangan.

Kajian bersama oleh (penyedia perkhidmatan penasihat perakaunan) KPMG dan Manufacturing Institute di Amerika Syarikat yang bertajuk ‘Cost of Manufacturing Operations around the Globe’ juga meletakkan Malaysia di kedudukan keempat antara 17 negara dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai pusat pembuatan, ia meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia lain seperti China, Jepun, Vietnam dan India, katanya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam ‘Doing Business 2020’ oleh Bank Dunia dan ke-27 dalam MD World Competitiveness 2020.

“Penarafan oleh agensi antarabangsa yang terkemuka ini membuktikan bahawa inisiatif reformasi yang sedang berjalan berada pada landasan yang tepat untuk meningkatkan daya saing, produktiviti dan tadbir urus Malaysia, ia akan membantu mempromosikan pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai apakah Malaysia masih dapat mengekalkan kadar kepantasan pemulihan ekonomi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang kedua (PKP 2.0), Azmin memberi jaminan bahawa kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus berada di barisan hadapan untuk menarik masuk pelaburan bernilai tinggi dalam bidang teknologi dan inovasi untuk meletakkan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di Asia.

“Para Pelabur pasti akan memperoleh nilai dengan memanfaatkan jaringan industri penyokong tempatan Malaysia dan tenaga kerja yang berbakat untuk melakukan pembuatan produk berteknologi tinggi  bagi memenuhi perminataan pelanggan mereka di rantau ini, buat masa ini dan masa depan,” katanya.

Menurut MIDA, setakat bulan Disember 2020, potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion sedang dinilai secara aktif.

“Projek-projek ini, selepas mendapat kelulusan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022. Sebanyak 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi bernilai RM81 .9 bilion juga telah dikenal pasti.

“Ini termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi kepada mereka,” kata MIDA.

Azmin optimis bahawa Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIgital) akan mempercepat kemajuan Malaysia untuk menjadi ekonomi maju daripada segi teknologi.

“Peta pembagunan 10 tahun ini akan meletakkan asas untuk transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju dan membimbing MITI dan MIDA dalam usaha kita untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa depan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X