B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Program imunisasi pulih keyakinan perniagaan, pertumbuhan ekonomi

Program imunisasi pulih keyakinan perniagaan, pertumbuhan ekonomi

03 Mac 2021

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat membantu memulihkan keyakinan perniagaan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, tindakan lebih ramai rakyat mendapat suntikan vaksin itu juga dapat meningkatkan keyakinan pengguna untuk kembali keluar berbelanja dan akhirnya memulihkan keyakinan peniaga.

Katanya, kerajaan juga menyasarkan usaha vaksinasi itu turut berperanan dalam memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 6.5 peratus hingga 7.5 pada tahun ini.

“Apabila sebahagian besar penduduk menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, ada pihak berpendapat kerajaan sudah boleh mempertimbang untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) itu,” katanya pada program Agenda Awani bertajuk ‘Setahun Malaysia Prihatin: Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat,’ yang disiarkan semalam.

Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata, selain vaksin, faktor lain seperti pemulihan ekonomi dunia, harga komoditi termasuk sawit yang mencecah RM3,800 satu tan dan minyak mentah Brent meningkat lebih AS$62 satu tong juga menjadi pemangkin terhadap prospek ekonomi lebih cerah bagi Malaysia.

Selain itu, beliau juga menyifatkan perubahan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang kepada PKP Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac hingga 18 Mac ini yang turut membenarkan rentas daerah, akan turut menyuntik impak positif bagi sektor pelancongan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu.

Bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua,’ program itu dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan 500,000 orang, manakala Fasa 2 (April-Ogos 2021) membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa 3 (Mei – Februari 2022) pula membabitkan penduduk berumur 18 tahun ke atas iaitu warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X