B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia rekod RM264.6 bilion pelaburan diluluskan pada 2022 – Tengku Zafrul

Malaysia rekod RM264.6 bilion pelaburan diluluskan pada 2022 – Tengku Zafrul

08 Mac 2023

Malaysia merekodkan sejumlah RM264.6 bilion pelaburan diluluskan tahun lepas yang diterjemah kepada 4,454 projek serta mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, sektor perkhidmatan mendominasi jumlah pelaburan diluluskan tahun lepas dengan mencatatkan 3,581 projek bernilai RM154 bilion atau 58 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Ini mewakili peningkatan 58.8 peratus berbanding pelaburan tahun sebelumnya sebanyak RM97 bilion, yang dijangka mewujudkan 63,464 pekerjaan baharu,” kata Tengku Zafrul semasa pengumuman tahunan Prestasi Pelaburan Malaysia dalam Sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Sektor Utama 2022 di MIDA Sentral.

Pelaburan terbesar, katanya, melibatkan sektor perkhidmatan termasuk daripada ByteDance System Sdn Bhd yang mengendalikan TikTok Malaysia, Amazon Web Services, dan Mamee Double Decker Distribution (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, Malaysia merekodkan RM84.3 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) yang mendahului jumlah pelaburan sebanyak RM29.3 bilion.

Ini diikuti oleh jentera dan peralatan (RM8.4 bilion), peralatan pengangkutan (RM8.0 bilion), kimia dan produk kimia (RM7.4 bilion), dan produk petroleum termasuk petrokimia (RM5.9 bilion).

Tengku Zafrul menambah projek besar dalam sektor pembuatan termasuk pelaburan yang dilakukan oleh Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, TF-AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd, dan Ferrotec Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

Beliau juga berkata negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor utama berjumlah RM26.3 bilion atau 9.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Industri perlombongan menerima sejumlah RM24.0 bilion pelaburan, menyumbang 91.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai punca kemerosotan 13.6 peratus dalam jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lepas berbanding laporan sebelum ini yang mencatatkan RM306.5 bilion, menteri berkata ini berikutan dua pelaburan langsung asing yang besar secara one-off dalam tahun 2021.

“Jika kita lihat pada 2022, ia masih merupakan pelaburan kedua tertinggi yang diluluskan di Malaysia. Tetapi terdapat dua pelaburan yang sangat besar yang berlaku pada 2021 yang bersifat sekali sahaja.

“Mereka adalah daripada Intel Electronics dan Risen Solar, yang jumlah keseluruhannya hampir RM100 bilion,” katanya.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon