B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Korea Selatan

Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Korea Selatan

13 Mac 2023

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Seoul, Korea Selatan dari 14 hingga 17 Mac ini untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Misi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk perniagaan Korea serta produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Korea.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata tumpuan misi itu adalah kepada sektor teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi seperti pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui.

“Delegasi rasmi itu terdiri daripada pegawai kanan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta wakil daripada agensi penggalakan pelaburan negeri, koridor-koridor pembangunan wilayah dan syarikat dari Malaysia,” katanya.

MITI berkata semasa misi itu, Tengku Zafrul akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan Dukgeun Ahn untuk membincangkan isu dua hala, kerjasama ekonomi serantau serta langkah mengukuhkan kerjasama dalam menangani isu global untuk kepentingan bersama.

“MITI akan menganjurkan seminar mengenai peluang perniagaan di Malaysia, di mana audiens Korea Selatan akan dikemas kini mengenai iklim perdagangan dan pelaburan Malaysia serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada syarikat Korea yang merancang untuk melabur di Malaysia.

“Terdapat juga sesi perkongsian oleh syarikat Korea mengenai pengalaman mereka menjalankan perniagaan di Malaysia serta mesyuarat perniagaan yang disasarkan dengan syarikat terkemuka Korea yang telah menyatakan minat untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia,” katanya.

Selain itu, ia berkata akan ada sesi pemadanan perniagaan antara bakal pelabur Korea Selatan dan pengimport dengan agensi penggalakan pelaburan negeri yang berkaitan, koridor-koridor pembangunan wilayah serta perniagaan dan pengeksport Malaysia.

Korea Selatan merupakan rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah RM114.55 bilion (US$26.01 bilion) pada 2022, meningkat 29.7 peratus berbanding RM88.31 bilion (US$21.01 bilion) pada 2021.

Daripada segi pelaburan, Korea Selatan telah menjadi salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia untuk sektor pembuatan dengan 374 projek bernilai US$9.2 bilion (RM32.9 bilion) sedang dilaksanakan dan menjana 46,260 pekerjaan setakat Jun, tahun 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon