B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih tempat pertama dalam kedudukan kewangan Islam global untuk tahun ke-10

Malaysia raih tempat pertama dalam kedudukan kewangan Islam global untuk tahun ke-10

23 Dis 2022

Malaysia mengekalkan kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk tahun kesepuluh berturut-turut, kata Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Dalam satu kenyataan, MIFC berkata berdasarkan kepada ‘Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD)-Refinitiv IFDI Report 2022’ yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia turut meraih tempat pertama bagi empat sub kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kesedaran dan kemampanan.

Laporan itu juga merangkumi prospek pertumbuhan industri. Industri kewangan Islam global mempunyai jumlah aset bernilai US$4 trilion (US$1=RM4.43) pada 2021. Ia dijangka mencecah US$5.9 trilion menjelang 2026, kata kenyataan itu.

Menurut laporan itu, Malaysia berada di tempat pertama dengan jumlah skor IFDI 2022 sebanyak 113 mata, mendahului Arab Saudi yang di kedudukan kedua dengan 74 mata, Indonesia (61 mata), manakala Bahrain dan Kuwait kedua-duanya berkongsi 59 mata.

IFDI menyediakan analisis terperinci tentang faktor utama yang memacu pertumbuhan dan pembangunan industri di seluruh dunia kepada pihak berkepentingan dalam kewangan Islam seperti kerajaan dan institusi kewangan.

IFDI global 2022 mengukur prestasi 136 negara dalam lima kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kemampanan, pengetahuan dan kesedaran.

“Markah purata untuk 136 negara ialah sembilan; 38 negara mendapat markah melebihi purata manakala majoriti jatuh di bawah sembilan.

“Disebabkan oleh perubahan dalam metodologi IFDI tahun ini, markah dan kedudukan tidak dapat dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” kata laporan itu.

Laporan itu menekankan bahawa kekuatan terbesar bagi ekosistem kewangan Islam Malaysia ialah kesedaran, pengetahuan dan kemampanan. Arab Saudi mengikuti rapat di belakang Malaysia.

Indonesia pula menunjukkan prestasi kukuh dalam pengetahuan dan mendapat markah yang baik dalam tadbir urus, dan ia meraih tempat ketiga.

Negara lain yang berada di kedudukan 10 teratas termasuk Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Pakistan, Qatar dan Bangladesh.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon