B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


CPTPP menguntungkan pengguna dengan kualiti dan harga yang kompetitif

CPTPP menguntungkan pengguna dengan kualiti dan harga yang kompetitif

22 Dis 2022

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), antara lain akan meningkatkan akses kepada bahan mentah serta barangan perantaraan yang berharga kompetitif dari negara-negara CPTPP, yang kemudiannya bertukar menjadi produk siap yang akan dieksport atau dijual di dalam negara. 

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata rakyat sebagai pengguna boleh menikmati produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

CPTPP berkuat kuasa di Malaysia pada 29 Nov 2022. 

Sebanyak lapan negara telah melaksanakan perjanjian tersebut seperti Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu juga akan memudahkan aliran modal masuk ke negara ini, yang seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi termasuk peluang ekonomi bagi rakyat Malaysia. 

“Ia menjanjikan ekosistem pelaburan yang lebih baik melalui pembangunan kapasiti yang akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Ia juga memberikan perlindungan, kebolehramalan dan ketelusan yang lebih jelas untuk rakyat Malaysia melabur di negara-negara CPTPP,” kata MITI dalam satu menyataan hari ini. 

Perjanjian itu juga akan membolehkan profesional Malaysia keupayaan memperkenalkan perkhidmatan mereka melalui pengiktirafan bersama kelayakan profesional, pelesenan atau pendaftaran, melalui Garis Panduan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) atau Pengaturan untuk Perkhidmatan Profesional.

Menurut MITI, Ia juga akan menjadi pemudahcara pergerakan rentas sempadan profesional yang berkelayakan dalam beberapa sektor berasaskan perkhidmatan yang mempunyai kepentingan utama kepada Malaysia seperti perakaunan, kejuruteraan, seni bina, undang-undang, perubatan dan pergigian. 

Khususnya, mekanisme pemudahcara yang ditawarkan oleh CPTPP akan mengurangkan halangan yang dihadapi oleh profesional perniagaan di sempadan negara-negara CPTPP. 

Menurut kenyataan itu lagi, ini akan memudahkan perjalanan perniagaan atau penempatan semula secara sementara bagi kategori profesional tertentu yang terlibat dalam aktiviti perdagangan dan pelaburan.

“Sama pentingnya ialah bantuan teknikal serta program pembangunan kapasiti yang dirangkumkan dalam perjanjian itu, yang akan membantu membangunkan kepasiti tempatan dalam sektor seperti automotif, elektrik dan elektronik, bahan kimia, peralatan optik dan saintifik serta peranti perubatan,” tambah MITI. 

Sebagai pihak yang mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan, Malaysia kini boleh mengambil bahagian secara berkesan dalam rundingan penyertaan yang sedang berlangsung dengan United Kingdom.

Selain itu, dengan adanya, penyertaan China, Taipei China, Ecuador, Costa Rica dan Uruguay, Malaysia mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam rundingan penyertaan dengan negara-negara terbabit yang pastinya memberikan faedah maksimum kepada negara. 

Ia menambah, semua agensi dalam ekosistem Miti juga bersedia serta berupaya untuk membantu pengeksport, pengeluar Malaysia; pelabur dan pembekal perkhidmatan; komuniti perniagaan dan profesional; serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi memanfaatkan potensi dan manfaat CPTPP sepenuhnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon