B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia perlu perhebat penglibatan dalam industri kenderaan elektrik

Malaysia perlu perhebat penglibatan dalam industri kenderaan elektrik

20 Okt 2021

Sejajar dengan peranan kenderaan elektrik (EV) sebagai instrumen pengubah dalam industri automotif yang matang, Malaysia tiada pilihan kecuali bertindak untuk memperhebatkan lagi penglibatannya dalam sektor terbabit.

Menurut Pengasas TGT Automotive Solution Sdn Bhd Kevin Tham, ini juga bertepatan dengan kedudukan Malaysia yang telah menceburi industri elekterikal dan elektronik (E&E) sejak lebih 50 tahun lamanya, malah merupakan pengeksport terbesar litar bersepadu (IC) automotif di peringkat dunia.

Selaku pihak terlibat dalam syarikat yang menawarkan penyelesaian teknologi kepada sektor automotif, beliau berkata Malaysia juga mempunyai barisan jurutera penyelidikan dan pembangunan E&E yang dapat melengkapkan sistem elektronik daripada peringkat IC sehingga ke peringkat sistem.

“Menerusi Proton dan Perodua misalnya, kita mempunyai kemahiran yang serba lengkap melibatkan kejuruteraan reka bentuk automotif. Oleh itu, Malaysia mempunyai asas-asas terbaik untuk beralih kepada hab EV serantau berbanding negara-negara jiran.

“Tesla Motors misalnya menjadi bukti terbaik bagaimana syarikat pengeluar kenderaan itu ‘memaksa’ pengeluar automotif Jerman bertindak mengubah haluan masing-masing daripada menumpukan hibrid kepada EV dalam tempoh singkat.

“China pula membuktikan bagaimana ia membuat persiapan sewajarnya pada tempoh satu hingga dua dekad lepas dalam usaha pembangunan teknologi EV selain langkah untuk menerapkannya di pasaran.

“Malah, pada hari ini, China adalah pengeluar dan pasaran terbesar kenderaan itu di dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Tham berkata Malaysia tidak seharusnya ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan oleh TGT Automotive kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah memberi tumpuan terhadap beberapa komponen penting selain teknologi bateri.

Ini termasuk sistem penjanaan kuasa kereta api yang melibatkan aspek pembangunan peranti semikonduktor, fabrikasi IC, teknologi pembungkusan gred automotif sehingga integrasi sistem penjanaan kuasa kereta api selain integrasi bateri dinamik EV yang dikitar semula kepada ESS (sistem penyimpanan tenaga) bagi panel solar atau peralatan tenaga UPS (sumber/bekalan tenaga yang tidak terjejas).

Sementara itu, Pengarah Wheelspin Motorsports Jagjeet Singh menyifatkan MOSTI berperanan penting dalam usaha tersebut memandangkan ia mempunyai sumber-sumber bagi melibatkan pakar industri berkaitan bagi mengemukakan penyelesaian yang ditambah baik untuk Malaysia dan seterusnya dapat diubah dalam bentuk pelan tindakan dengan memanfaatkan ‘pendekatan keseluruhan kerajaan.’

Justeru, beliau berkata Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba bertindak tepat pada masanya bagi menangani isu tersebut berikutan Malaysia kini telah ketinggalan dari segi penerimagunaan EV berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Pada 18 Oktober lepas, Adham telah mempengerusikan sesi libat urus bersama penggiat industri EV tempatan bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai pembangunan ekosistem industri kenderaan tersebut di negara ini.

“Seiring dengan gesaan untuk mengurangkan pelepasan karbon, Malaysia boleh memainkan peranannya dengan menggalakkan penggunaan EV dalam semua sektor daripada pengangkutan, rekreasi serta suka permotoran,” kata Jagjeet.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 27 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Tenaga Negara bagi menyediakan hala tuju strategik jangka panjang untuk menyokong aspirasi negara neutral karbon.

Beliau juga menyuarakan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.

Bagi menyokong usaha terbabit, Ismail Sabri berkata instrumen ekonomi seperti penetapan harga dan cukai karbon akan diperkenalkan manakala perincian pengurangan karbon itu akan diumumkan selepas kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan menjelang akhir 2022.

Menurut Perdana Menteri, penjanaan tenaga elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan menerusi pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X