B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hubungan Malaysia dengan AS, EU terus kukuh meskipun berdepan cabaran COVID-19

Hubungan Malaysia dengan AS, EU terus kukuh meskipun berdepan cabaran COVID-19

20 Okt 2021

Momentum hubungan Malaysia dengan rakan-rakan strategik asing seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) terus kukuh meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu Dewan Negara pada Rabu, perkara itu dibuktikan menerusi peningkatan nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan AS dan EU yang masing-masing menokok 27.1 peratus kepada RM121.01 bilion (USD29.44 bilion) dan 26.66 peratus kepada RM79.94 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.

“AS dan EU masing-masing merupakan rakan dagang ketiga dan keempat terbesar Malaysia selepas China (rakan dagang terbesar) dan Singapura (kedua terbesar). 

“Nilai dagangan dua hala pada 2019 antara Malaysia dengan AS adalah sebanyak RM165.22 bilion (USD39.17 bilion) manakala dengan EU sebanyak RM159.35 bilion (USD38.48 bilion),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Zaiedi Suhaili mengenai prospek kerjasama strategik dan ekonomi Malaysia dengan blok negara Eropah dan AS terbabit bagi memastikan tempoh pasca COVID-19 dapat membuka peluang lebih besar kepada sektor pelancongan negara selain aspek hubungan ekonomi.

Menjelaskan selanjutnya, Kamarudin berkata selaras dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), tumpuan akan diberikan kepada industri strategik serta berimpak tinggi termasuk pelancongan, elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, industri halal, industri biojisim serta aktiviti pertanian pintar.

Menurutnya, bagi memperkukuh Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS, pihaknya akan memperluas kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti pengeluaran dan pengedaran vaksin termasuk vaksin COVID-19, tenaga boleh baharu, ekonomi hijau, perdagangan digital, keselamatan siber, pelancongan kesihatan, robotik, aeroangkasa dan pembangunan lestari.

Antara langkah yang diambil adalah mempelawa lebih banyak syarikat-syarikat AS AS memindahkan operasi perniagaan ke Malaysia dan meninjau kerjasama dalam bidang teknologi digital dengan negara itu di peringkat ASEAN.

Bagi EU, Kamarudin berkata langkah-langkah diambil untuk memperkukuh kerjasama strategik dan ekonomi itu adalah menerusi pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama serta mempertimbang untuk menyambung rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU.

“Kita juga akan mempertingkatkan kesalinghubungan udara dan perdagangan antara kedua-dua rantau di bawah hubungan ASEAN-EU.

“Langkah lain adalah mempromosi Malaysia sebagai sebuah lokasi strategik untuk pelaburan dan pelancongan di bawah hubungan kerjasama serantau di peringkat ASEM (Mesyuarat Asia-Eropah) serta mencadangkan pengiktirafan Sijil Vaksinasi timbal balas COVID-19 di antara Malaysia dan EU,” katanya.

Beliau turut berkongsi komitmen kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama Malaysia dengan negara-negara berkenaan menerusi kementerian peneraju seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

“Ini bagi memastikan nilai perdagangan antara Malaysia dengan EU, AS serta kemasukan pelancong dari negara-negara berkenaan terus bertambah walaupun dunia (masih) berdepan situasi COVID-19 serta ekonomi yang meruncing.

“Malah bagi tujuan itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang dalam misi lawatan ke tiga negara Eropah iaitu Jerman, Perancis dan United Kingdom yang berakhir pada 22 Oktober ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X