B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Strategi pemulihan sektor ekonomi akan direalisasikan menerusi Bajet 2022

Strategi pemulihan sektor ekonomi akan direalisasikan menerusi Bajet 2022

21 Okt 2021

Strategi pemulihan sektor ekonomi akan direalisasikan menerusi Bajet 2022 yang dirangka berdasarkan senario negara ketika ini, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, negara ketika ini sedang dalam tempoh pemulihan daripada pandemik COVID-19 yang hampir melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan.

“Bajet 2022 menjadi cerminan tekad kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis penyerahan surat penerimaan kemudahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) SME Relief Program (SRP) Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Fasa 2 SME Bank, di sini, semalam.

Bajet 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober ini.

Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan kesemua pakej bantuan yang telah diumumkan bagi tujuan pemulihan jangka panjang sektor ekonomi negara.

“Bajet 2022 bakal menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong perniagaan agar kekal berdaya tahan ketika menghadapi krisis selain melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata strategi pemulihan negara yang terkandung dalam Bajet 2022 akan memastikan usahawan PKS sektor pelancongan terus berdaya saing sekali gus meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, KDNK sektor pelancongan menyumbang 15.9 peratus atau RM240.5 bilion pada 2019 namun merosot kepada 14.1 peratus atau RM199.4 bilion pada 2020 akibat pandemik itu.

Nancy dalam pada itu berkata sebanyak 337 daripada 688 permohonan untuk pembiayaan sektor pelancongan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah diluluskan sehingga 24 September lepas yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM66.9 juta.

Beliau berkata kemudahan pembiayaan itu menjadi ‘nilai tambah’ kepada usahawan PKS sektor pelancongan untuk kembali memulakan operasi setelah kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri berkuat kuasa 11 Oktober lepas.

“Sektor pelancongan menerima impak teruk sejak penularan pandemik COVID-19 berikutan sekatan perjalanan dan penutupan pintu sempadan antarabangsa.  Jadi, pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan disediakan untuk usahawan industri pelancongan supaya mereka mampu bertahan dalam tempoh krisis ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju memberi pengecualian cukai pelancongan dan perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di mana RM2.34 bilion nilai pengecualian cukai tersebut telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon