B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mempunyai komitmen kukuh terhadap ASEAN, China – Tengku Zafrul

Malaysia mempunyai komitmen kukuh terhadap ASEAN, China – Tengku Zafrul

09 Mac 2023

Malaysia melihat komitmennya kepada Asean sebagai kepentingan strategik dalam penglibatannya dengan negara-negara Asean lain dan China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan juga Asean, sambil menambah China dan Asean – dengan gabungan penduduk lebih dua bilion – boleh membentuk trajektori Asian Century (Abad Asia).

“Malahan, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menjadi pendaya kukuh bagi usaha ini. China menyaksikan perdagangannya dengan Asean meningkat sebanyak 15 peratus pada 2022 – tahun pertama RCEP mula berkuat kuasa.

“Hubungan ekonomi kita terus bertahan dalam tempoh mencabar. Perdagangan dua hala China-Asean malahan menongkah arus negatif yang disebabkan oleh pandemik, meningkat daripada AS$641.5 bilion pada 2019 kepada US$975.3 bilion pada 2022,” katanya dalam ucap tama beliau pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Perniagaan CGS China-Asean, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata China merupakan pelabur utama Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan bernilai US$12.5 bilion (RM55.4 bilion).

Ketika rantau ini membina semula ekonominya daripada kemusnahan akibat pandemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Malaysia, bersama-sama dengan China dan negara anggota Asean, boleh juga menimbang membentuk perkongsian kerjasama pelbagai hala dengan negara-negara lain yang menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan.

Ini akan membantu memudahkan aliran barang, modal dan perkhidmatan, katanya, sambil menambah Malaysia bersedia untuk menyokong BRI dengan tenaga kerja mahirnya yang fasih bertutur pelbagai bahasa.

Beliau juga mencadangkan beberapa sektor utama diteroka secara bersama-sama untuk manfaat bersama semua pihak.

Ini termasuk pasaran kewangan dan pasaran halal, katanya, sambil menambah 20 peratus daripada populasi besar China tidak mempunyai akaun bank, manakala 70 peratus penduduk Asia Tenggara sama ada tidak mempunyai akaun bank atau jarang menggunakan perkhidmatan bank.

“Sudah tentunya terdapat peluang besar dalam segmen ini. Juga, di rantau ini yang 42 peratus penduduknya adalah orang Islam, kewangan Islam dan industri halal masih belum dimanfaatkan sepenuhnya bagi perniagaan berkaitan China, termasuk dari segi BRI,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengiktirafan bersama pensijilan halal antara satu sama lain, sebagai permulaan, yang akan memastikan kecekapan kos yang lebih baik bagi perusahaan kecil dan sederhana.

China dan negara-negara anggota Asean juga boleh bekerjasama rapat dalam sektor seperti alam sekitar, sosal dan tadbir urus (ESG) dan tenaga bersih serta ekonomi digital.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mempunyai dasar yang kukuh bagi kesemua ketiga-tiga sektor tersebut yang mencerminkan komitmen kemampanan negara, fokus utama kepada teknologi digital serta pasaran kewangan yang dikawal selia dengan baik dan ekosistem halal.

“Sebagai menteri perdagangan baharu Malaysia, saya boleh katakan bahawa kami berusaha keras untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang properdagangan, properniagaan dan propelaburan.

“Oleh itu, ingin saya katakan bahawa Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi papan loncatan utama dan efisien dari segi kos atau pangkalan sokongan bagi negara-negara yang mahu memasuki bukan hanya Asia Tenggara tetapi juga negara-negara lain di Asia termasuk China,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia yakin rundingan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) yang dijangka dimuktamadkan dalam masa dua tahun, juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat sedia ada di peringkat dua hala dan juga serantau.

Menyentuh mengenai prinsip berkecuali Asean, beliau berkata Malaysia juga akan meneruskan hubungan baik dengan semua rakan dagang utamanya.

“Selain itu, hubungan antara Asean dan China perlu sentiasa berlandaskan sikap saling mempercayai dan menghormati.

“Kita amat berharap sebarang potensi persengketaan kuasa besar tidak akan menular ke sempadan kita. Tetapi kita menghargai kehadiran dan komitmen mereka ke rantau kita, terutamanya dalam perniagaan, pelaburan dan perdagangan.

“Menjadi harapan besar kita agar Asia Tenggara boleh kekal sebagai zon konflik atau permusuhan yang minimum, dan rantau yang menyokong kerjasama, kemakmuran dan keamanan global,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon