Johor catat FDI RM70.6b, tertinggi di Malaysia tahun lalu - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor catat FDI RM70.6b, tertinggi di Malaysia tahun lalu

Johor catat FDI RM70.6b, tertinggi di Malaysia tahun lalu

09 Mac 2023

Johor mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) RM70.6 bilion, tertinggi dalam negara tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan yang diterima itu bakal menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, Johor hanya menduduki tempat kelima membabitkan kemasukan FDI dengan hanya RM7 bilion pada 2021.

“Namun tahun lalu, Johor bangkit ke kedudukan pertama dengan FDI berjumlah RM70.6 bilion. Ia diikuti Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

“Saya merakam penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ling Ting Han, kerana membantu merealisasikan objektif untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

“Tidak dilupakan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, serta semua agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan Johor bersama kerajaan Persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan Johor,” katanya di Facebook hari ini.

Pada Disember lalu, Johor dilaporkan mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi untuk tempoh Januari sehingga September tahun lalu, iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Berdasarkan statistik MIDA, pelaburan yang dicatatkan itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon