B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mampu tawar banyak perkara berkaitan ekonomi halal, bidang lain dalam dunia Islam

Malaysia mampu tawar banyak perkara berkaitan ekonomi halal, bidang lain dalam dunia Islam

19 Okt 2022

Malaysia sebagai sebuah negara terkemuka dalam dunia Islam, mampu menawarkan banyak perkara terutama yang membabitkan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar).

Negara ini adalah contoh bagi ekonomi halal dan berjaya menempatkan dirinya sebagai penggerak utama ekonomi halal global, katanya sambil menambah berdasarkan Skor Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI), Malaysia telah berada di kedudukan nombor satu selama sembilan tahun berturut-turut.

Ekonomi halal menyumbang kira-kira 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kata Mustapa pada Forum Perniagaan Muslim Global 2022 yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata negara kini menerajui kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Islam dan dan sektor-sektor media dan rekreasi.

“Komponen terbesar ekonomi halal ialah sektor makanan, menyumbangkan kira-kira US$31 bilion (US$1=RM4.72).

“Malaysia adalah perintis dalam kewangan Islam dan industri itu cukup maju dan dikawal dengan baik di negara kita. Kita adalah antara lima negara teratas dengan aset kewangan Islam terbesar dengan lebih US$619.7 bilion pada 2021,” kata menteri itu.

Malaysia terus mendahului dengan inovasi, tambahnya sambil menyatakan pada tahun lepas, negara ini menerbitkan nota komersial berkaitan kemampanan kewangan Islam berdenominasi dolar AS yang pertama di dunia.

“Begitu juga pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global. Cop keaslian halal Malaysia membantu mengelakkan ‘pencucian wang kotor”  dan membina kepercayaan, terutamanya dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Menurut Mustapa, kerajaan juga terus menekankan kepentingan ekonomi halal.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata strategi utama ialah meletakkan Malaysia sebagai hab global dengan merancakkan pembangunan bakat halal, memperkenalkan pengiktirafan profesional halal, merangsang pembangunan industri dan meningkatkan daya saing produk.

Sasarannya adalah untuk melonjakkan sumbangan ekonomi halal daripada KDNK kepada 8.1 peratus dan menjana lebih US$12 bilion hasil eksport menjelang 2025, katanya.

Menyentuh tema forum “Kebangkitan Ekonomi Islam Global: Memfokuskan Semula, Menetapkan Semula dan Pulih Dalam Era Pascapandemik” (The Rise of the Global Islamic Economy: Refocusing, Resetting and Recovering in the Post-Pandemic Era), Mustapa berkata ia konsisten dengan potensi perniagaan yang besar bagi 1.9 bilion pengguna Islam di seluruh dunia.

Perbelanjaan masyarakat Muslim seluruh dunia mencecah US$2 trilion pada 2021 merangkumi pelbagai sektor seperti makanan, fesyen dan kewangan selain US$3.6 trilion aset kewangan Islam seperti sukuk dan bon Islam.

Memetik Laporan Keadaan Ekonomi Islam Global terkini oleh DinarStandard, beliau berkata tahap perbelanjaan pengguna untuk semua sektor ekonomi Islam global, kecuali untuk perjalanan telah kembali ke tahap sebelum pandemik setakat akhir tahun lepas.

“Prospek untuk ekonomi Islam global adalah baik. Permintaan untuk barangan dan perkhidmatan halal dijangka meningkat dengan unjuran perbelanjaan global mencecah US$2.8 trilion menjelang 2025.

“Penduduk Islam global mencecah 1.9 bilion pada 2019 dan diunjur berkembang dua kali lebih pantas berbanding keseluruhan populasi dunia. Akan ada sekurang-kurangnya tiga bilion umat Islam menjelang 2060, yang akan mewakili satu pertiga daripada populasi global, menurut Pusat Penyelidikan Pew,” katanya.

Mustapa turut menekankan peranan penting kesalinghubungan digital dalam dunia Islam.

Memetik data penyelidikan Newzoo, beliau berkata 15 daripada 50 negara yang mempunyai kadar penembusan telefon pintar tertinggi adalah dari Pertubuhan Kerjasama Islam; justeru permintaan untuk produk digital mesra Muslim – daripada kewangan Islam hinggalah kepada produk gaya hidup, akan berkembang.

“Perniagaan dan pelabur mesti menyedari potensi besar dalam ekonomi Islam global. Terdapat peralihan yang jelas ke arah barangan dan perkhidmatan mesra Muslim, disokong oleh konsep halal dalam dunia Islam dan melangkauinya,” tambah Mustapa. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon