B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TNB Sasar Hasil Tahunan RM200 Juta Daripada Pelaburan SSJ Sungai Perak

TNB Sasar Hasil Tahunan RM200 Juta Daripada Pelaburan SSJ Sungai Perak

20 Okt 2022

TNB akan melabur RM5.8 bilion untuk menjana semula Stesen Janakuasa Sungai Perak (SSJ Sungai Perak) serta meningkatkan lagi hasil tahunan sebanyak RM200 juta kepada pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) baharu bertempoh 40 tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Baharin Din berkata 18 unit penjanaan di enam stesen itu akan dinaik taraf kepada teknologi terbaharu.

“Ini merupakan antara inisiatif bagi mengukuhkan pelan peralihan tenaga TNB, dengan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 8,300 megawatt (MW) menjelang 2025, sejajar dengan aspirasi kami untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Ini akan memantapkan penguasaan TNB dalam sektor penjanaan hidro dengan kapasiti kumulatif 2,661MW sebagai sokongan kepada usaha negara neutral karbon dan Dasar Tenaga Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 14 Oktober lepas, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan Program Pelanjutan Hayat Hidro bagi enam stesen di SSJ Sungai Perak bermula tahun ini.

Projek dengan pelaburan sebanyak RM5.8 bilion itu, dijangka menggerakkan semula SSJ Sungai Perak dengan kapasiti 650.75 MW bagi menyokong aspirasi RE negara dan memastikan pertumbuhan mampannya. 

Baharin menjelaskan kecuali SJ Pergau, enam stesen dalam skim hidroelektrik yang sama iaitu SJ Temengor, SJ Bersia, SJ Kenering, SJ Chenderoh dan SJ Sungai Piah (hulu dan hilir) akan beroperasi di bawah PPA baharu selama 40 tahun. 

Unit pertama akan beroperasi secara komersial menjelang 2025, katanya.

Kerja-kerja menaik taraf SSJ Sungai Perak melibatkan keperluan teknologi terkini termasuk turbin dan transformer bagi meningkatkan kecekapan termasuk jangka hayat di samping mengukuhkan komitmen TNB terhadap objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG). 

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata SSJ Sungai Perak akan meneruskan peranannya dalam tebatan banjir, menguruskan takungan air untuk pertanian serta bekalan air bersih dan meningkatkan peluang pekerjaan termasuk aktiviti perniagaan baharu seperti eko-pelancongan dan akuakultur.

“Daripada segi tenaga hijau, SSJ Sungai Perak akan mengurangkan sehingga 464,000 pelepasan setara karbon dioksida, bersamaan dengan karbon yang dikeluarkan oleh lebih 100,000 kenderaan setahun,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon