B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Celcom, DHL bekerjasama cipta ekosistem logistik digital

Celcom, DHL bekerjasama cipta ekosistem logistik digital

20 Okt 2022

Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan DHL Supply Chain (Malaysia) Sdn Bhd (DHL) bekerjasama untuk membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dan mampan di Malaysia dengan mencipta dan mendigitalkan logistik dengan penyelesaian pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Idham Nawawi dan Pengarah Urusan DHL Supply Chain (Malaysia) Sdn Bhd, Mario Lorenz telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu di @celcom, Petaling Jaya, pada Rabu.

Celcom dalam satu kenyataan berkata, perkongsian tersebut bertujuan untuk cipta bersama ekosistem digital yang membolehkan kedua-dua organisasi berkongsi pandangan serta kepakaran mereka ke arah pelaksanaan penyelesaian teknologi dan perkhidmatan ketersambungan bagi menyokong logistik yang berdaya saing.

Menurut kenyataan itu, kolaborasi tersebut akan merapatkan jurang antara industri yang berbeza.

“Celcom akan menjadi peneraju dengan memanfaatkan kekuatan kepimpinan komunikasi tempatan dan kecemerlangan operasinya untuk mencadangkan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan rantaian bekalan yang cekap dan lancar.

“Ini termasuklah penyelesaian pintar seperti robotik, SDWan, Sekuriti siber, Wi-Fi Terurus dan Penyelesaian Rangkaian 5G yang akan datang.

“Kerjasama ini juga akan memanfaatkan kepakaran daripada kedua-dua pihak organisasi dengan penekanan kepada keperluan pelanggan berdasarkan ekosistem digital pada hari ini. Ini akan membolehkan operasi yang lebih lancar dengan tumpuan terhadap peningkatan produktiviti, di mana ia akan menyebabkan kos operasi yang lebih rendah,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Idham berkata, kerjasama tersebut dapat membolehkan pemain industri terkemuka dari kedua-dua pihak industri iaitu logistik dan telekomunikasi untuk bersama-sama memanfaatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran masing-masing untuk meneroka penyelesaian pintar bagi meningkatkan kecekapan dan kemampanan logistik.

“Pendigitalan logistik adalah penting bagi mempercepatkan pertumbuhan industri rantaian bekalan tempatan dan ekonomi digital negara, supaya dapat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan kekal menarik kepada pelabur asing.

“Dengan memanfaatkan liputan terluas Celcom dengan prestasi rangkaian yang boleh dipercayai dan konsisten, kami akan bekerjasama dengan DHL Supply Chain bagi mengaplikasikan penyelesaian logistik pintar untuk menjana hasil positif, yang membawa kepada pengurusan rantaian bekalan yang lebih tangkas dan memberi nilai kepada pelanggan,” tambah Idham.

Mario Lorenz berkata, kerjasama itu sejajar dengan agenda pendigitalan DHL yang dipercepatkan kerana menggunakan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan pekerjanya.

“Kami dapat belajar daripada Celcom dan menyumbang rantaian bekalan kami supaya dapat mencipta nilai yang lebih tinggi untuk pihak industri. Di Malaysia, kami telah pun melaksanakan teknologi seperti pick-to-light, automasi dan automasi proses robotik (RPA), yang telah membantu kami menjadi lebih produktif dan cekap, di samping memastikan keselamatan pekerja kami dan membekalkan mereka dengan peluang untuk tingkat kemahiran,” kata Mario Lorenz.

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon