B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia jadi negara paling menarik ketiga bagi pelaburan hotel – Kaji Selidik

Malaysia jadi negara paling menarik ketiga bagi pelaburan hotel – Kaji Selidik

02 Feb 2021

Malaysia menjadi negara paling menarik ketiga bagi pelaburan hotel di Asia Tenggara, selepas Thailand dan Singapura, menurut firma perunding hartanah global, Knight Frank Malaysia.

Ia merupakan hasil dapatan Kaji Selidik Hasrat Pelaburan Hospitaliti Malaysia yang menganalisis perspektif pelaburan daripada pemilik hotel, pengendali dan pengendali-pemilik.

14 peratus daripada responden kaji selidik itu didapati menjangkakan pembelian aset hotel dalam tempoh dua tahun akan datang manakala 16 peratus sedang mempertimbangkan pembelian dalam tempoh enam bulan akan datang, meskipun dalam suasana pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan pada Selasa, Knight Frank Malaysia menjelaskan kaji selidik itu, yang dijalankan pada suku keempat 2020, menyediakan pandangan mengenai permintaan pelaburan, pilihan pelabur dan harga.

Menurutnya, kaji selidik itu juga menunjukkan bagaimana COVID-19 memberi kesan terhadap sektor tersebut selain langkah yang boleh dilaksanakan untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia, James Buckley berkata pelabur yang mempunyai modal yang baik dan bijak membuat tinjauan melangkaui pandemik selain melihat ini sebagai peluang untuk memperoleh aset hotel utama pada harga yang lebih berpatutan.

“Kami percaya harga hotel-hotel di Malaysia yang dijual akan mengalami diskaun 10 hingga 30 peratus daripada nilai sebelum COVID-19 berlaku,” katanya.

Perunding hartanah itu juga menekankan beberapa kriteria diketengahkan sebagai faktor penting semasa pemilihan untuk mewujudkan operasi hotel di sebuah negara.

“Sebanyak 89 peratus responden mengatakan ketibaan pelancong dan akses penerbangan sangat penting dalam mereka membuat keputusan berkaitan pelaburan.

“Ini diikuti oleh inisiatif mesra pelabur oleh kerajaan yang berperanan penting dalam menggalakkan operasi dan pelaburan hotel memandangkan ia meredakan kesan sentimen pasaran,” menurutnya.

Knight Frank menjelaskan hampir separuh responden kekal positif terhadap unjuran sektor hospitaliti bagi 12 bulan akan datang dengan 45 peratus responden berpandangan sektor ini sedang dalam pemulihan, walaupun bergantung kepada kemajuan pelaksanaan suntikan vaksin dan penarikan balik sekatan perjalanan antarabangsa.

Menurutnya, dengan Malaysia mengenakan Perintah Kawaan Pergerakan 2.0 kecuali di Sarawak susulan berlaku peningkatan semula kes COVID-19 yang ketara, landasan ke arah pemulihan bagi industri pelancongan yang telah terjejas teruk dan akan menjadi lebih lama dan sukar.

“Langkah dan insentif kerajaan untuk menyokong industri mungkin lambat dan terlalu kecil memandangkan kami terus mendapat maklum lebih banyak hotel telah menutup operasinya buat sementara atau selamanya,” jelasnya.

Firma perunding itu juga menjelaskan hotel yang masih beroperasi pula secara giat mempromosikan pakej cuti inap dan bekerja dari hotel yang menarik di samping perkhidmtan penghantaran makanan untuk kekal bertahan serta menyokong pekerjaan. “Dalam melangkah ke hadapan, apabila perjalanan antara negeri dibenarkan kelak, kami yakin pelancongan domestik akan menerajui pemulihan, disokong oleh Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang baru dilancarkan, yang bermatlamat meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi ekopelancongan paling popular,” menurutnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon