B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Moody’s: Data perdagangan Disember beri keyakinan pemulihan pada 2021

Moody’s: Data perdagangan Disember beri keyakinan pemulihan pada 2021

01 Feb 2021

Laporan perdagangan Disember memberikan sedikit keyakinan Malaysia bakal mencatatkan pemulihan diterajui pembuatan pada 2021, walaupun negara ketika ini masih lagi sedang berjuang membendung gelombang kedua pandemik COVID-19, kata Moody’s Investors Service.

Agensi penarafan itu berkata data tersebut membayangkan permintaan luaran akan menampung kegawatan pada suku pertama 2021. 

“Bagaimanapun, ia banyak bergantung kepada keadaan luaran yang ketika ini tidak stabil. 

“Sekatan pergerakan masih dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun negara-negara itu telah mula menyediakan pembekalan vaksin, manakala di Asia, sebahagian dari China, Thailand, Korea Selatan dan Jepun telah mengenakan semula sekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Imbangan perdagangan Malaysia meningkat kepada RM20.7 bilion pada Disember 2020, daripada RM16.8 bilion pada November 2020.

Eksport meningkat sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun berikutan lonjakan 47.1 peratus eksport pertanian dan 12.4 peratus dalam pembuatan.

“Lebih memberangsangkan, import meningkat buat pertama kalinya dalam tempoh sembilan bulan meskipun langkah-langkah kawalan pergerakan ketat yang dikenakan di hampir semua negeri,” katanya.  

Moody’s berkata walaupun rantau Asia Pasifik berjaya membendung gelombang pertama pandemik itu dengan agak pantas hasil daripada langkah sekatan pergerakan yang ketat, namun pembekalan vaksin secara meluas adalah perlu untuk mengekalkan lantunan semula pemulihan.

Firma penarafan itu baru-baru ini (28 Jan) mengesahkan penarafan hutang tidak bercagar senior mata wang tempatan dan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Pengesahan penarafan itu disokong oleh jangkaan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia kekal kukuh dan institusi penggubal dasar makroekonomi negara akan terus dipercayai dan berkesan, menyediakan daya tahan kepada profil kredit negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon