B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia dijangka terima pelaburan lebih tinggi

Malaysia dijangka terima pelaburan lebih tinggi

17 Jun 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengunjurkan negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan lebih tinggi pada 2021 berbanding angka pada tahun lalu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata terdapat tanda-tanda positif ekonomi ini berada di fasa pemulihan dan pakej rangsangan ekonomi kerajaan juga menunjukkan hasil yang baik.

“Saya dimaklumkan sehingga suku kedua 2021, kita mencatatkan hampir RM100 bilion dari segi nilai pelaburan yang diluluskan (dalam pembuatan, perkhidmatan sektor utama).

“Saya optimis menjelang akhir tahun ini, kita akan mampu meraih paras pelaburan yang amat mengagumkan, termasuk daripada pelaburan langsung asing (FDI),” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Pada 2020, Malaysia merekodkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM164 bilion dalam situasi pandemik di seluruh dunia, dengan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.9 peratus (RM99.8 bilion) dan FDI meningkat 39.1 peratus (RM64.2 bilion).

Mohamed Azmin berkata, selain pelaburan RM8.5 bilion oleh AT&S yang beribu pejabat di Austria seperti diumumkan minggu lalu, sebuah pelaburan bernilai tinggi daripada sebuah lagi firma multinasional akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.

Tanpa mendedahkan nama firma atau industri itu, beliau berkata kali ini adalah oleh sebuah syarikat di China.

Beliau mengulangi mahu menyaksikan lebih banyak pelaburan bernilai tinggi masuk ke Malaysia dan bukan yang berintensifkan buruh.

“Saya tidak mahu industri berintensifkan buruh datang ke Malaysia, kerana peserta tempatan kita memiliki potensi dan kita seharusnya membangunkan bakat ini.

“Kita perlu membangunkan kemahiran mereka dengan kemahiran baharu dan tambahan untuk meningkatkan produktiviti supaya Malaysia boleh bersaing dalam pasaran global,” katanya.

Beliau mencari pelaburan bernilai tinggi dalam bidang baharu seperti teknologi tinggi, teknologi hijau, industri solar, kenderaan elektrik dan tenaga boleh baharu memandangkan semua bidang itu mampu meningkatkan kapasiti pekerja warga Malaysia.

“Negara ini komited menyediakan keperluan dan kelengkapan baharu kepada pelabur. Tekad negara dalam mendapatkan teknologi terkini terbukti menjadi kelebihan utama bagi pengeluar di negara ini.

“Saranan nilai unik sebagai pelaburan berteknologi tinggi dan hab operasi global akan menarik aliran mampan aktiviti pelaburan berkualiti ke negara ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin, yang dalam rangka lawatan sehari di Pulau Pinang, melawat dua pusat pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19.

Beliau juga melawat pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pejabat MITI di negeri ini serta syarikat Intel Technology Sdn Bhd dan Jabil Circuits Sdn Bhd di Bayan Lepas.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X