B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia lokasi ideal penuhi peningkatan permintaan sektor aeroangkasa di Asia Pasifik — MIDA

Malaysia lokasi ideal penuhi peningkatan permintaan sektor aeroangkasa di Asia Pasifik — MIDA

17 Jun 2021

Pemilihan UMW Aerospace Sdn Bhd dalam Kumpulan Pembekal Berprestasi Tinggi Rolls-Royce bagi Kohort 2021 membuktikan Malaysia sebagai lokasi ideal untuk memenuhi peningkatan permintaan dalam sektor aeroangkasa di rantau Asia Pasifik, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arham Abdul Rahman berkata, dengan mengambil kira persekitaran perniagaan yang rancak, MIDA optimis bahawa Rolls-Royce akan mendapat manfaat daripada ekosistem dan kemudahan Malaysia yang kukuh.

“Kami gembira kerana Malaysia terus bersesuaian dengan strategi pertumbuhan keseluruhan Rolls-Royce bagi rantau ini terutama dengan kejayaannya dalam teknologi Industri 4.0.

“Kami yakin menerusi saranan nilai strategik kami, syarikat boleh mengembangkan perniagaan mereka kepada satu peringkat lain dan berubah menjadi penggiat dunia yang berdaya saing.

“Kami akan memastikan sentimen perniagaan di Malaysia kekal menjadi tarikan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar dan gelombang semasa pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada UMW Aerospace di atas pencapaian itu, Arham berkata pemilihan itu meletakkan UMW Aerospace dalam kalangan 5.0 peratus pembekal utama global Rolls-Royce sejak memenangi anugerah “Trusted to Deliver Excellence” pada 2018.

Beliau berkata, menerusi pelbagai agensi termasuk MIDA, kerajaan akan memastikan pembangunan jangka panjang industri aeroangkasa tempatan, antaranya dengan memperluaskan rantaian bekalan aeroangkasa melalui penyertaan perusahaan kecil dan sederhana susulan usaha Malaysia untuk menjadi negara terkemuka aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang 2030.

Beliau berkata, sebagai agensi galakan pelaburan yang utama di negara ini, MIDA berhasrat untuk membangunkan lebih banyak syarikat tempatan peringkat satu seperti UMW Aerospace dan seterusnya, menggalakkan mereka untuk menembusi pasaran baharu serta menjalinkan hubungan dengan penggiat industri

aeroangkasa utama termasuk pengeluar peralatan tulen di arena antarabangsa.

Sementara itu, Presiden dan CEO kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyifatkan komitmen kukuh syarikat itu terhadap produk berkualiti tinggi serta perkhidmatannya telah menyumbang kepada pengiktirafan ini.

Beliau berkata UMW Aerospace telah membuktikan ia sebagai penggiat bereputasi baik dalam industri aeroangkasa dalam masa yang singkat.

“Malah, pencapaian ini meletakkan UMW Aerospace dalam kalangan lebih banyak penggiat kukuh dalam industri ini dan dalam kedudukan baik untuk terbabit dalam projek Rolls-Royce pada masa depan,

“Kami yakin pencapaian ini adalah bukti kepada potensi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa di ASEAN,” katanya.

UMW Aerospace Sdn Bhd selaku anak syarikat milik penuh UMW Group merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang menjadi pembekal peringkat satu kepada Rolls-Royce.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X