B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia dan Thailand sasar perdagangan dua hala US$30 bilion menjelang 2025

Malaysia dan Thailand sasar perdagangan dua hala US$30 bilion menjelang 2025

26 Feb 2022

Malaysia dan Thailand komited untuk terus bekerjasama rapat bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 billion (RM126 bilion) menjelang 2025 sebagai usaha untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini dalam lawatan rasmi ke Thailand berkata beliau dan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berharap Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (Joint Trade Committee – JTC) di peringkat menteri yang ketiga dapat diadakan secepat mungkin.

“Kami juga bersetuju untuk meneroka peluang pelaburan baharu di kedua-dua pihak. Pelabur Thailand boleh meneroka sektor pelaburan baharu di Malaysia seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi circular manakala pelabur Malaysia boleh menceburi Model Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) dan sektor baharu lain seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, electrik and kenderaan pintar, automasi dan robotik di Thailand,” katanya pada sidang media bersama di Rumah Kerajaan (Government House) di sini.

Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam ASEAN manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencatatkan peningkatan positif sebanyak 23 peratus dengan jumlah perdagangan bernilai RM97.97 bilion berbanding RM79.63 bilion bagi tahun 2020.

Sebelum itu, Ismail Sabri yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke Thailand telah mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya, Prayuth di Rumah Kerajaan.

Ismail Sabri berkata beliau dan Prayuth juga mengulangi komitmen untuk meningkatkan kerjasama Malaysia dan Thailand di bawah kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) terutamanya, melalui pelaksanaan Projek Kesalinghubungan Fizikal (PCP) dan kepentingan kerjasama dalam Pertanian dan Industri Asas Tani, Pelancongan serta Produk dan Perkhidmatan Halal bagi merealisasikan Wawasan IMT-GT 2036.

Selain itu, beliau dan Prayuth bersetuju untuk meneruskan mekanisme dua hala yang sedia ada termasuk Rundingan Tahunan dan dua mesyuarat di peringkat menteri, iaitu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau turut mencadangkan penawaran getah dalam anggota negara Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam International Rubber Council (ITRC) dikawal agar ia dapat memberi manfaat kepada negara anggota.

“Diharapkan ia dapat memberi manfaat yang sama buat pekebun-pekebun getah kecil,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon