B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi negara dapat manfaat besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau, antarabangsa

Ekonomi negara dapat manfaat besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau, antarabangsa

28 Feb 2022

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat yang besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau dan antarabangsa yang merupakan tunjang kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

Seri Paduka bertitah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diratifikasikan akan menyediakan akses pasaran yang lebih luas kepada syarikat tempatan.

Titah Seri Paduka ia turut memberi peluang berlipat ganda untuk syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global. 

“Menerusi kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional pula, fokus ditumpukan kepada sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dapat menarik pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi, di samping mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing negara,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini. 

Malaysia secara rasmi akan menjadi negara ke-12 yang meratifikasi RCEP pada 18 Mac ini selepas berjaya menyerahkan Surat Cara Ratifikasi (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Jan, 2022.

Malaysia bakal menyertai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei,  Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan. 

Seri Paduka bertitah tindakan proaktif kerajaan dalam mencerdaskan dan meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara telah mendapat pengiktirafan daripada institusi global. 

“Milken Institute Global Opportunity Index 2022 telah menobatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dalam kalangan ekonomi Asia Tenggara baharu muncul,” titah Seri Paduka. 

Baginda bertitah prestasi perdagangan Malaysia pada 2021 buat pertama kalinya telah mencatatkan pencapaian cemerlang melebihi RM2 trilion dengan jumlah eksport bernilai RM1.24 trilion.

“Ini menjadikan sasaran jumlah eksport negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM1.25 trilion menjelang 2025, telah berjaya dicapai empat tahun lebih awal.

“Beta yakin kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap asas ekonomi dan eko-sistem pelaburan negara,” titah baginda.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon