B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia ceburi pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua, biojet

Malaysia ceburi pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua, biojet

13 Dis 2021

Malaysia kini menceburi bidang pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang dijangka dapat dikomersialkan ke pasaran global dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kejayaan bermakna itu dicapai susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pertukaran teknikal dalam pengeluaran kedua-dua bahan api itu di negara ini, hari ini.

MoU yang dimeterai oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd, Shanxi Construction Investment Group Co Ltd dan Institut Kimia Arang Batu Akademi Sains China itu akan disusuli dengan mewujudkan kilang minyak sayuran berhidrogen (HVO) di Pengerang, kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini, beliau berkata kilang tersebut berpotensi mengeluarkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau lebih dikenali sebagai bahan api biojet yang melibatkan usaha pemecahan dan penghidrogenan minyak sawit menjadi bahan api hidrokarbon yang dapat digunakan dalam industri penerbangan.

“Pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan kilang tersebut yang merangkumi pengambialihan tanah dan aspek infrastruktur. Fasa pertama kilang itu dapat menghasilkan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.

“Kerjasama membabitkan kilang HVO di Malaysia itu akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi. Saya yakin projek ini akan menyuntik lebih banyak nilai ke atas produk-produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuh dagangan dalam produk-produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Zuraida berkata satu kajian berkaitan bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang melibatkan teknologi hijau, telah dilaksanakan sejak enam bulan lepas dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Pada masa ini, industri terbabit diterajui oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Finland, Neste Corporation yang mengeluarkan HVO di Singapura dengan keduaduanya adalah negara bukan pengeluar minyak sawit.

“Malaysia sebaliknya merupakan negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia manakala China adalah antara negara yang mengimport minyak kita. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita juga mampu melakukan lebih baik daripada mereka (Neste) di masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Luar Shanxi Wang Chongjun berkata pembinaan kilang HVO itu akan bermula sebaik kajian terbabit selesai yang akan turut menentukan jenis teknologi dan kemudahan yang diperlukan.

“Kita berhasrat menggunakan produk-produk minyak sawit Malaysia seperti minyak sawit yang telah menapis semua nutrien seperti vitamin atau minyak sisa bagi penghasilan generasi biodiesel dan biojet generasi kedua itu.

“Pengaturan rancangan pengeluaran itu pada masa ini adalah bahan api biojet atau SAF, diesel hijau dan produk-produk bahan kimia hijau berkaitan yang seiringan dengan pengeluaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, produk-produk itu disasarkan untuk dieksport ke pasaran Eropah dan China.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon