Kesalinghubungan Malaysia kembali berada di Landasan dengan pelancaran VTL, pemulihan ECRL dan HSR - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kesalinghubungan Malaysia kembali berada di Landasan dengan pelancaran VTL, pemulihan ECRL dan HSR

Kesalinghubungan Malaysia kembali berada di Landasan dengan pelancaran VTL, pemulihan ECRL dan HSR

13 Dis 2021

Kesalinghubungan yang lancar merupakan antara tunjang utama kepada ekonomi negara dan kerajaan Malaysia berusaha melakukan segalanya bagi memastikan kemajuannya walaupun berdepan cabaran getir ketika negara berjuang memerangi penularan pandemik COVID-19. 

Pencapaian utama tahun ini dari segi kesalinghubungan adalah pembukaan semula Laluan Perjalanan Vaksin Lengkap jalan darat (VTL-Darat) antara Johor dan Singapura menerusi Tambak yang merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia. Tambak berusia 97 tahun itu yang juga dikenali sebagai Tambak Johor, ditutup kepada 400,000 pengembara yang berulang-alik setiap hari sejak pertengahan Mac 2020 bagi membendung penularan virus COVID-19.

Inisiatif VTL-Darat itu dilancarkan secara bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di pusat pemeriksaan Woodlands pada 29 Nov, 2021.

Peringkat awal VTL-Darat hanya terhad kepada pengangkutan bas dengan tidak lebih daripada 1,500 pengembara setiap hari, manakala kaedah pengangkutan darat lain akan dilancarkan secara berperingkat dengan kuota harian pengembara akan ditingkatkan setiap minggu. 

Kedua-dua negara itu juga bersetuju memperluaskan VTL-Darat untuk merangkumi laluan perkhidmatan bas tambahan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura, kereta api di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan secara beransur-ansur membenarkan kenderaan peribadi seperti kereta dan motosikal.

Pada masa yang sama, kerajaan juga merancang untuk mengembangkan inisiatif VTL ke negara-negara jiran lain dalam usaha untuk memulihkan industri pengangkutan di negara ini.

Cadangan Pemulihan Kembali Projek HSR

Cadangan pemulihan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HRS) Kuala Lumpur-Singapura yang telah ditamatkan suatu yang mengejutkan kerana pada Mac tahun ini Malaysia mengumumkan ia telah membayar S$102.8 juta (S$1=RM3.09) kepada Singapura sebagai pampasan menamatkan projek tersebut.

Bagaimanapun, semasa lawatannya ke Singapura baru-baru ini, Ismail Sabri telah mencadang untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai projek HSR.

Lee pula memberi respons dengan menyatakan republik itu terbuka kepada cadangan baharu dari Malaysia dan Singapura berharap dapat menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

Kemajuan berhubung perkara ini sudah pastinya akan menjadi perhatian utama pada 2022.

Mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, pembinaan projek itu sedang berjalan lancar dan kedua-dua negara menyasarkan system tersebut memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026. 

Laluan RTS adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan terminal di Singapura di stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Ia akan menyokong kapasiti puncak sebanyak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala.

ECRL Menjadi Kenyataan

Selepas banyak diperdebatkan, kerajaan Selangor bersetuju pada 2 Dis 2021 untuk menerima cadangan jajaran utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan meluluskan jajaran ECRL Seksyen C, yang melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang meliputi Gombak -Serendah-Pelabuhan Klang.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer itu,  yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion.

Menurut Kementerian Pengangkutan pada 9 Mac, projek itu telah dipertingkatkan lagi dengan memanjangkan jajaran asal daripada  640 kilometer  kepada 665 kilometer untuk sistem jajaran rel yang lebih cekap.

ECRL dijadualkan siap pada Disember 2026, ia telah mencapai kadar kemajuan 25.09 peratus setakat Oktober tahun ini.

Ketidakpastian KVDT2

Gambaran mengenai projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) masih kekal kabur. Penamatan kontraktor Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd telah dibuat oleh Kabinet pada 28 Ogos dan 2 Sept tahun lepas.

Pada 26 Julai 2021, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd telah diberikan “injunksi Erinford” untuk menghalang KTMB daripada mengambil sebarang tindakan selanjutnya terhadap pembatalan lesen syarikat pembinaan untuk menduduki tapak projek.

Injunksi Erinford ialah perintah mahkamah khusus untuk menghalang atau memaksa pihak lain melakukan tindakan spesifik  untuk mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong bagaimanapun berkata, projek itu boleh disiapkan menjelang 2026, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Wee berkata, ia boleh dicapai dengan perancangan rapi dan kerjasama semua pihak yang terlibat, termasuk majlis tempatan dan syarikat yang terlibat dalam projek itu.

Kemajuan Pan-Borneo Sabah, Sarawak

Sementara itu, kemajuan kerja untuk 12 pakej dalam pelaksanaan Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berada pada tahap 62 peratus setakat Oktober 2021, meliputi jarak 706 kilometer yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

Pada 6 Nov, Perdana Menteri turut melancarkan  projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid sepanjang 58 kilometer melibatkan tiga pakej kerja bernilai RM877 juta.

Kerajaan juga sedang meneliti beberapa cadangan untuk mempercepatkan pelaksanaan baki Fasa Satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah, meliputi 19 pakej kerja.

Bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pula, kerajaan persekutuan memberi jaminan bahawa pembinaan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Pujut ke Lawas akan diteruskan.

Pembinaan projek mega fasa kedua itu sebelum ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional namun dibatalkan apabila Kerajaan Persekutuan bertukar tangan selepas pilihan raya umum 2018.

Pada 4 Dis, Jajaran Seksyen Serian sepanjang 33.65 kilometer telah siap sepenuhnya, melibatkan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos keseluruhan RM700 juta.

Ia merupakan sebahagian daripada Pakej Kerja Tiga projek Lebuhraya Pan Borneo dari Bulatan Serian ke Simpang Pantu dengan panjang keseluruhan 75.015 kilometer. 

Sabah Akan Modenkan Perkhidmatan Rel

Sistem pengangkutan bakal mencapai satu lagi kejayaan dengan cadangan melaksanakan projek ‘’sky train’’ untuk memodenkan perkhidmatan rel Sabah, menghubungkan kawasan di Kota Kinabalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 11 Mac, projek itu bagaimanapun masih dalam peringkat perancangan walaupun pelabur yang berminat telah dikenal pasti dan beberapa siri perbincangan telah dijalankan.

RMK12 Sediakan Infrastruktur yang Lancar

Di bawah RMK12, kerajaan akan melaksanakan strategi untuk meningkatkan kebolehcapaian keseluruhan pengangkutan awam dan menggalakkan peralihan penggunaan daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam.

Rangkaian rel dan jalan raya juga akan diintegrasikan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian dan bandar serta pada masa yang sama, ECRL akan dihubungkan kepada sistem rel semasa.

Langkah ini bertujuan menyediakan kesalinghubungan ke lapangan terbang sedia ada selain  melengkapkan rangkaian jalan raya di wilayah pantai timur sambil meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam darat, penumpang udara dan pergerakan kargo.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon