B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tumpu pindahan teknologi, latihan selepas ratifikasi perjanjian perdagangan

Tumpu pindahan teknologi, latihan selepas ratifikasi perjanjian perdagangan

13 Dis 2021

Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pemindahan teknologi, latihan dan pembinaan kapasiti bagi pelabur serta syarikat multinasional yang datang ke Malaysia selepas ia meratifikasikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bertujuan memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini akan menyediakan dan mencipta nilai bagi pemain tempatan sejajar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang dilancarkan pada April lalu.

“Paling terkini adalah Porsche AG, yang memutuskan membuka kilang di Kedah. Ini adalah bidang baharu kejuruteraan, kita memperkatakan mengenai kejituan yang kita boleh manfaatkan dan boleh dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan.

“Pembukaan kilang baharu itu akan membuka peluang baharu bagi tenaga kerja tempatan untuk belajar mengenainya,” katanya pada sidang media majlis penyerahan dan penghargaan Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP), di sini, hari ini.

NIA adalah strategi berpandangan ke hadapan bertujuan menarik pelaburan berkualiti yang dipacu inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan inklusi rantaian bekalan domestik lebih meluas.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, usaha diselaraskan sektor awam dan swasta adalah penting, justeru kerajaan komited menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan domestik serta global, meningkatkan kapasiti tenaga kerja tempatan dan volum pengeluaran tempatan serta melonjakkan eksport dan pelaburan.

“Sejajar dengan NIA kita, ia bukan hanya sekadar memenuhi permintaan pasaran domestik tetapi juga menyasarkan pasaran global sebagai pembekal kepada pasaran dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pasaran automotif berkembang dengan permintaan bagi kenderaan pintar dan bercirikan tenaga bersih terus meningkat.

“Kemudahan mobiliti itu bermakna bandar moden di serata dunia kini berdepan tekanan untuk membolehkan orang ramai mempunyai pilihan (pengangkutan) bergerak secara lebih cekap dan dalam persekitaran mampan,” katanya.

Malah, beliau berkata, seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), negara ini sudah melancarkan Dasar Kenderaan Elektrik (EV) bagi memangkin permintaan EV dan membangunkan infrastrukturnya.

“Memandangkan EV mempunyai rantaian bekalan berbeza, bahagian mekanikal yang tidak banyak dan lebih bercirikan elektronik, kita turut mengambil langkah menerajui rantaian nilai itu dengan TTAP sebagai turut menjadi pelengkap masa depan mobiliti berkenaan.

“Tindakan menggalakkan tenaga kerja baharu seperti jurutera Internet Pelbagai Benda (IoT), saintis data, juruteknik robotik dan pakar strategi rantaian bekalan digital adalah satu tindakan perlu.

“Pada masa sama, kita juga perlu memastikan bahawa idea Dasar Automotif Nasional dapat dilaksanakan dengan tepat pada tahun akan datang dalam usaha mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

TTAP yang dibangunkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Persona Energy Sdn Bhd, adalah program pemindahan teknologi unik bagi melahirkan barisan tenaga kerja automotif, kepakaran dan teknologi rantaian nilai tempatan menerusi program perintis membabitkan jurutera tempatan terpilih bagi meraih pengetahuan kejuruteraan penting dalam teknologi perlumbaan di Kejuaraan Kereta Lasak Dunia Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Pada Jun lalu, empat jurutera perintis TTAP iaitu Muhammad Amzar Danish Chairil, Anderson Kent Robert, Luqman Othman dan Muhammad Taufiq Mohd Zin, menjadi sebahagian daripada pasukan JOTA di acara terbabit.

Sepanjang program itu, perintis berkenaan dianggap sebahagian daripada pasukan dan diberi tanggung jawab kejuruteraan masa nyata berkaitan segmen tertentu pembangunan kenderaan bagi setiap perlumbaan.

Ini termasuk pengumpulan dan analisis prestasi komponen kereta lumba, reka bentuk dan susun atur keperluan serta kelengkapan bengkel ketika perlumbaan, baik pulih serta penyelenggaraan kereta lumba dan aktiviti kejuruteraan diperlukan bagi tempoh pembangunan serta pada hari perlumbaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon