B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lonjakan teknologi capai status negara berpendapatan tinggi

Lonjakan teknologi capai status negara berpendapatan tinggi

13 Dis 2021

Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa peralihan kepada rangkaian generasi kelima (5G) daripada generasi keempat (4G) teknologi rangkaian selular jalur lebar pada masa ini adalah lebih daripada hanya perubahan teknologi, ia adalah keputusan dasar yang akan mempengaruhi secepat mana negara dapat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Negara Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan dikenali sebagai “Empat Naga Asia”, dan kejayaan ekonomi mereka telah menjadi model kepada banyak negara membangun, terutamanya Malaysia.

Satu perkara yang negara-negara ini mempunyai persamaan ialah keempat-empatnya telah mempunyai rangkaian dan pengguna 5G secara langsung, menurut The Edge dalam laporannya.

Korea Selatan mencapai nilai ambang pendapatan sederhana rendah pada 1969 (tahun sama seperti Malaysia), meningkat kepada status pendapatan sederhana tinggi pada 1988 dan naik kepada status pendapatan tinggi pada 1995 dan sudah tentu akan terus meningkat dan kekal sebagai aspek penting dalam rantaian nilai global.

Mana-mana negara yang ingin kekal berdaya saing di peringkat global dan meningkatkan rantaian nilai perlu mempunyai kesalinghubungan jalur lebar berkelajuan tinggi yang dipercayai.

Dari segi perspektif, penggunaan teknologi yang lebih tinggi dan lebih baik seperti 5G boleh dibandingkan dengan pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan pada akhir 1980-an, yang mengubah jaringan pengangkutan jalan raya di negara ini apabila ia dibuka pada September 1994, ketersediaan 5G di seluruh negara dijangka menjadi perbezaan yang penting dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Bagi Korea Selatan, negara yang mempunyai budaya fandom itu mampu mengatasi negara lain dalam melancarkan rangkaian 5G pertama pada 3 April 2019, berikutan negara itu telah menghabiskan beberapa dekad untuk meletakkan asas yang kukuh dalam pelbagai bidang, daripada kesalinghubungan fiber kepada keupayaan untuk mengeluarkan peralatan rangkaian, panel paparan kristal cecair, bateri dan telefon boleh lipat 5G yang menarik.

“Bagi Singapura, kita semua sedia maklum bahawa negara jiran ini mempunyai ekonomi yang kukuh dan tidak akan melabur kecuali aspek itu dapat memberi manfaat untuk republik itu atau rakyatnya,” katanya.

Pada Mei, Singapura telah bertindak melancarkan Rangkaian Kendiri 5G yang berupaya dari segi transmisi data secara bebas menerusi rangkaian 5G tanpa bergantung sebahagiannya kepada infrastruktur 4G sebagaimana melibatkan rangkaian bukan kendiri 5G.

Walaupun menteri perdagangan dan industri republik itu pada Ogos lepas berkata 5G tersebut dijangka meliputi separuh daripada negara itu menjelang akhir 2022 dan keseluruhannya menjelang akhir 2025, maklumat di laman sesawang Singapore Telecommunications Ltd menunjukkan liputan rangkaian 5G berkenaan telah merangkumi lebih dua pertiga kawasan Singapura.

Korea Selatan melancarkan perkhidmatan 5G untuk perniagaannya seawal Disember 2018, sekali gus menetapkan landasan bagi pembinaan serta pengujian kapal-kapal autonomi yang tidak hanya merangkumi kenderaan darat yang dijana oleh platform internet pelbagai benda (IoT), tetapi juga kelebihan pelbagai akses serta pengkomputeran awan.

Perkhidmatan kilang pintar berasaskan langganan seperti pengesanan produk cacat atau tidak menepati spesifikasi kini bukan lagi asing selain penyelesaian yang dijana oleh 5G seperti dron autonomi untuk logistik masa sebenar, udara, air, semburan racun serangga dan pelbagai pemantauan lain.

Kerajaan Korea Selatan telah bertindak memperakui peranan 5G seiring dengan kecerdasan buatan (AI) dan data sebagai pengupaya 4IR seawal 2017 apabila memperkenalkan dasar-dasar seperti strategi i-Korea 4.0 dan 5G+ selain mewujudkan satu jawatankuasa presiden bagi menyelaras pengembangan keupayaannya dalam data, rangkaian yang berhubungan secara hiper dan AI bagi mencapai kehidupan lebih baik dengan memanfaatkan teknologi itu.

“Penggunaan 5G membantu dari segi kelajuan internet yang lebih pantas, kapasiti jalur lebar lebih besar dan kekurangan penangguhan kependaman atau transmisi maklumat. Mungkin aspek ini dilihat sebagai mudah serta bersifat asas, namun ketiga-tiga elemen itu dapat mengatasi halangan bagi teknologi baharu muncul dan sedang membangun seperti IoT, pemanduan dan penghantaran secara autonomi, realiti maya dan realiti terimbuh (AR),” kata penerbitan itu.

Malah, kependaman lebih rendah dalam 5G itu dapat melonjakkan IoT ke tahap baharu yang membolehkan kewujudan mesin atau jentera dengan keupayaan untuk mengesan dan memberi tindak balas dalam hampir masa sebenar manakala liputan rangkaian yang stabil dan meluas pula bertepatan dengan hasrat syarikat yang mahu menggunakan sistem penghantaran berasaskan dron autonomi.

Secara kesimpulannya, pelaksanaan 5G bukan satu pilihan tetapi merupakan satu keutamaan negara memandangkan Malaysia perlu melakukan lonjakan teknologi yang dapat merentasi semua industri.

Atas kepentingan itu, sebarang kesilapan dalam membuat keputusan pada masa ini yang berkemungkinan menjejaskan pelaksanaan 5G, akan hanya menyebabkan kesan buruk itu perlu ditanggung oleh negara ini dan rakyatnya untuk beberapa dekad akan datang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X