Malaysia bakal muncul gergasi pusat data ASEAN - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia bakal muncul gergasi pusat data ASEAN

Malaysia bakal muncul gergasi pusat data ASEAN

13 Apr 2023

Malaysia menyaksikan kapasiti pusat data kian berkembang apabila beberapa penyedia perkhidmatan awan gergasi dunia mula giat memperluaskan pasaran operasi di negara ini.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, Malaysia menerima pelaburan baharu dengan kapasiti melebihi 800 megawatt (MW) yang diunjurkan beroperasi secara berfasa sepanjang tempoh lima tahun akan datang, dengan kos tanah dan tenaga lebih rendah menjadi faktor penarik utama.

“Keputusan Singapura pada awal 2022 untuk mengenakan syarat-syarat ke atas kapasiti bangunan pusat data baharu sebenarnya membuka peluang yang tidak disangka-sangka apabila syarikat seperti Equinix, AirTrunk, Yondr Group, dan GDS Holdings menempatkan kemudahan sulung mereka ke Johor.

“Lebih penting lagi, pembukaan rantau awan oleh Microsoft dan Amazon Web Services (AWS) menjadi satu pencapaian yang besar kerana ia memberikan rangsangan yang ketara kepada industri pusat data domestik dan ekonomi negara,” kata bank pelaburan itu menerusi nota yang disediakan penganalisis, Jeffrey Tan dan Wan Muhammad Ammar Affan.

RHB Investment Bank berkata, pertumbuhan industri pusat data Singapura dengan syarat-syarat yang ketat menyebabkan kekurangan inventori, lantas menyebabkan peralihan ke

negara jiran.

“Walaupun Singapura masih menjadi tumpuan pertumbuhan pusat data di Asia Tenggara, syarat-syarat yang lebih ketat untuk membina pusat data baharu menyebabkan pelabur mula mempertimbangkan tapak atau hab lain di rantau ini,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, pasaran pusat data di Indonesia pula berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan enam peratus antara 2022 hingga 2028 kepada AS$3.1 bilion, berdasarkan laporan Arizton Advisory and Intelligence pada Mac 2023.

Ia berkata, pertumbuhan ini mendapat dorongan hasil daripada pengembangan kapasiti yang pantas oleh penyedia perkhidmatan awan besar, peraturan penyetempatan data, dan apabila penembusan capaian internet merapatkan jurangnya dengan negara-negara ASEAN lain.

“Kini, Indonesia sudah menjadi tempat tertubuhnya pelbagai rantau awan daripada Google, Alibaba, Amazon, Huawei, dan Microsoft dengan Pulau Batam muncul sebagai zon ekonomi baharu pusat data,” katanya.

Menurut Frost and Sullivan, ketiga-tiga negara ini dijangka mencatatkan nilai gabungan kira-kira 74 peratus untuk pasaran pusat data ASEAN menjelang 2025.

RHB Investment Bank mengemukakan saranan supaya pelabur mempertimbangkan saham syarikat berkaitan industri pusat data seperti Singtel, Telekom Malaysia (TM), Telekomunikasi

Indonesia (TLKM), Time dotCom, Indosat Ooredoo Hutchison (ISAT), YTL Power, XL Axiata (XL) dan DCI Indonesia (DCII).

“Kami menamakan MN Holdings dan Sunway Construction sebagai bakal kontraktor pusat data di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon