B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia alu-alukan Arab Saudi manfaatkan penyertaan negara dalam RCEP – MITI

Malaysia alu-alukan Arab Saudi manfaatkan penyertaan negara dalam RCEP – MITI

08 Jun 2022

Malaysia mengalu-alukan Arab Saudi untuk memanfaatkan kedudukan negara sebagai pintu masuk bagi perusahaan negara tersebut untuk menembusi pasaran ASEAN serta pasaran Asia yang lebih besar menerusi penyertaan negara dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Ini akan menjadi amat strategik memandangkan pelancaran Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) baru-baru ini yang mana Malaysia merupakan negara rakan kongsi,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan dan delegasinya ke atas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Putrajaya hari ini.

MITI berkata semasa pertemuan tersebut, Malaysia dan Arab Saudi mengesahkan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan perdagangan dua hala ke tahap yang lebih tinggi. 

Malaysia juga menyambut baik kenyataan Putera Faisal yang mengketengahkan kemungkinan mewujudkan perjanjian perdagangan Malaysia-Majlis Kerjasama Teluk ke arah integrasi ekonomi yang lebih kukuh antara Malaysia dan negara-negara Teluk.  

Menurut MITI, Azmin mengalu-alukan perniagaan Arab Saudi untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan dengan syarikat Malaysia terutamanya dalam projek pembuatan berteknologi tinggi dan industri baharu. 

“Dalam hal ini, kedua-dua pihak bersetuju akan kepentingan perniagaan diterajui oleh sektor swasta,” katanya.

Pada 2021, Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.  

Malaysia meraih jumlah perdagangan sebanyak RM17.56 bilion dengan Arab Saudi pada 2021 dan setakat April 2022, mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM10.42 bilion, menandakan peningkatan  98.2 peratus berbanding RM5.26 bilion pada tempoh yang sama pada 2021.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X