N. Sembilan sasar hasil pelaburan berjumlah RM10 bilion tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


N. Sembilan sasar hasil pelaburan berjumlah RM10 bilion tahun ini

N. Sembilan sasar hasil pelaburan berjumlah RM10 bilion tahun ini

08 Jun 2022

Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan peningkatan hasil pelaburan berjumlah RM10 bilion pada tahun ini berbanding RM5.6 bilion yang dicapai pada tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sasaran itu mampu dicapai melalui pelbagai strategi termasuk pembukaan kawasan industri baharu Parcel A di Bandar Enstek dan Senawang, selain kerjasama dengan pihak swasta.

Katanya Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek juga baru balik dari Kanada dalam usaha mencari pelabur.

“Nampaknya ada hasil positif, kami akan buat susulan dengan mereka supaya dapat direalisasikan dan bawa pelabur ke sini.

“Kerajaan negeri ada sedikit masalah tanah untuk tapak industri, tapi kita cuba selesaikan menerusi kerjasama dengan syarikat swasta bagi membangunkan kawasan industri berdekatan termasuk di Seremban, Nilai dan Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan baharu yang boleh diusahakan tanaman bagi meningkatkan pengeluaran makanan negeri membabitkan Jelebu, Kuala Pilah, Gemas dan Tampin.

Aminuddin berkata usaha itu antara lain bagi mengatasi krisis bekalan makanan yang bukan sahaja dirasai di negara ini malah di peringkat global ekoran peningkatan harga makanan termasuk kos pengeluaran.

Beliau turut menggalakkan masyarakat bercucuk tanam di rumah bagi mengurangkan beban membeli bahan makanan.

“Kalau ada tanah kosong di halaman rumah, boleh cucuk tanam kerana ia tidak ambil masa lama, sebulan dua dah keluar hasil, paling kurang tanam serai, ubi keledek dan sebagainya. Jangan ada krisis baru nak mula sebaliknya perlu mula dari sekarang,” katanya.

Jelasnya agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar juga perlu memainkan peranan bagi membantu rakyat dari segi dana serta pemasaran.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon