B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia akan tumpu kepada kecekapan teras tenaga kerja untuk tingkat prospek – Pengerusi MIDA

Malaysia akan tumpu kepada kecekapan teras tenaga kerja untuk tingkat prospek – Pengerusi MIDA

16 Dis 2022

Prospek pelaburan di Malaysia meningkat dengan ketara susulan interaksi berterusan negara dengan ekonomi global, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Beliau berkata ketika ekonomi Malaysia menjalani transformasi, kecekapan teras rakyat perlu terus dibangunkan agar tenaga kerja kita boleh bersaing dengan cekap dalam ekonomi global bagi memberi manfaat kepada negara selain menarik pelaburan berteknologi tinggi dan beralih kepada sektor baharu yang mempunyai kelebihan.

Sulaiman berkata, agensi itu telah memperkenalkan langkah-langkah untuk membangunkan tenaga kerja bersedia bagi masa depan dalam usaha untuk mendepani kesukaran ekonomi dan mengekalkan status negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Gabungan aktiviti ini dan tenaga kerja yang berkemahiran akan meningkatkan prospek pelaburan antarabangsa, katanya.

“Kita mencapai banyak kejayaan tahun lepas, menetapkan paras tertinggi baharu dalam pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer yang berjumlah RM309.4 bilion.

“Pelabur akan datang sekiranya pelaburan mereka berada dalam persekitaran bersih dengan kawal selia yang telus dan sekiranya kita bekerja bersama-sama dengan kerajaan dan sektor perniagaan untuk melahirkan tenaga kerja yang bekerja keras dan produktif,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, untuk menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini, perlu ada kestabilan politik dengan hala tuju yang jelas, ditambah dengan penawaran kumpulan tenaga kerja mahir yang ramai.

Beliau berkata, sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada lebih banyak pelaburan kerana tenaga kerja muda berkemampuan dari segi teknikal dan mereka yang berada dalam bidang itu berminat untuk mengembangkan kebolehan mereka.

Antara tempoh Januari dan September 2022, Malaysia berjaya menarik pelaburan dilulus bernilai RM193.7 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer yang melibatkan 2,786 projek.

Projek ini dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan.

Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Untuk Tarik Pelaburan Dalam Ekonomi Digital

“Ekonomi kita terbuka kepada pelaburan rentas sempadan dan kepakaran kita dalam membangunkan projek adalah bertaraf dunia. Faktor-faktor ini akan menyumbang kepada peningkatan ketara dalam infrastruktur digital,” kata Sulaiman.

Beliau berkata sokongan padu kerajaan terhadap teknologi maklumat (IT) menjadikan negara destinasi pilihan bagi pelabur teknologi.

Malaysia juga merupakan lokasi pelaburan menarik bagi pusat data, terutama berskala hiper manakala dasar mesra pelabur negara ini disokong oleh prasarana kukuh dan pembangunan tenaga boleh baharu.

“Negara ini mempunyai iklim mesra pelaburan yang kondusif bagi aktiviti perniagaan,” katanya.

Keperluan industri IT turut menjadi penggerak pertumbuhan dalam beberapa industri, termasuk pembekal pusat data serta pengeluar ‘server’ atau pelayan manakala lebih banyak sumber diperlukan bagi menyokong peningkatan permintaan untuk perkhidmatan (pengkomputeran) awan.

Industri IT juga meraih manfaat daripada dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan penggiat domestik dalam perkhidmatan data serta ICT secara umum.

Sulaiman mengunjurkan bahawa pasaran pusat data akan berkembang dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan pertambahan pilihan pendanaan atau pembiayaan oleh syarikat-syarikat besar untuk perniagaan.

Selain itu, perniagaan digalakkan melabur dalam sumber tenaga boleh baharu dan menggunakan mesin cekap tenaga yang meliputi panel solar, dapur pembakaran kayu, biogas dan loji kuasa hidro mini.

Beliau berkata kalangan perusahaan kecil dan sederhana yang mematuhi prinsip-prinsip kemajuan mampan mempunyai akses kepada pembiayaan tersebut.

Prospek Masa Depan di Malaysia

Sulaiman berkata unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2023 kekal positif biarpun terdapat cabaran global termasuk tekanan inflasi, ekonomi, ketidaktentuan dan perubahan iklim.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun depan dijangkakan dalam lingkungan 4.0 dan 5.0 peratus dan kerajaan berhasrat mengekalkan sokongan fiskal dan bukan fiskal yang tinggi dalam usaha menggalakkan aktiviti ekonomi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan KDNK.

“Kami bersedia untuk membangunkan paradigma baharu dalam persekitaran pelaburan,” katanya yang menyifatkan perkara itu berdasarkan pengajaran serta pengalaman sebelum ini.

Beliau berkata sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang mengutamakan pembangunan pelaburan inovatif, berimpak tinggi, berteknologi tinggi yang penting untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, MIDA akan berusaha meninjau pelaburan sedemikian dalam menggalakkan pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan perdagangan.

“Kami mahu mencabar diri kami sendiri dengan berusaha gigih serta membangunkan cara kami sendiri sebagai sebuah pasukan. Malaysia juga masih kekal sebagai pilihan utama bagi pelaburan langsung asing di rantau ini,” katanya.

Malah, Malaysia merupakan pasaran yang amat berpotensi bagi syarikat yang berhasrat mengembangkan lagi operasi masing-masing susulan ciri pentadbirannya yang mesra perniagaan dan kesalinghubungan dengan negara-negara lain di rantau ini.

“MIDA akan terus berusaha untuk memberi jaminan kepada pelabur bahawa mereka dapat meraih kejayaan walaupun belum tiba di sini lagi menerusi usaha seperti memupuk pembangunan perniagaan serta tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon