B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jumlah dagangan Malaysia-Korea Selatan melangkaui US$20 juta

Jumlah dagangan Malaysia-Korea Selatan melangkaui US$20 juta

16 Dis 2022

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan telah melangkaui US$20 juta (US$1=RM4.41) dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, kata Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae.

Peningkatan ketara ini didorong oleh industri semikonduktor, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta petrokimia. 

“Tahun lepas, jumlah dagangan antara kedua-dua negara melebihi US$20 juta dan ia dijangka meningkat lebih banyak malah mencatat rekod tertinggi baharu sekali lagi tahun ini. Pelaburan oleh syarikat Korea di Malaysia akan terus bertambah. 

“Kami ingin menaik taraf serta memperluaskan skop kerjasama antara kedua-dua negara. Sekarang kami sangat berminat dengan industri berteknologi tinggi, sektor tenaga hijau dan boleh diperbaharui,” katanya selepas pelancaran logo rasmi bagi memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (LEP) antara Malaysia dan Korea Selatan, yang akan memasuki tahun ke-40 menjelang 2023.

LEP diperkenalkan pada 1982 oleh Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan objektif untuk belajar daripada pengalaman Korea Selatan dan Jepun dalam pembangunan negara. 

Logo rasmi yang baru dilancarkan itu bertujuan mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Korea Selatan-Malaysia, yang terdiri daripada warna bendera kedua-dua negara, antara lain. 

Mercu tanda terkenal kedua-dua negara iaitu Menara Berkembar PETRONAS dan Kwang-hwa-moon atau pintu utama Istana Diraja Gyung-bok-gung juga tertera dalam logo.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob semasa majlis itu berkata Korea Selatan sentiasa kekal sebagai antara penerima pelaburan langsung asing (FDI) utama Malaysia. 

“Saya yakin akan ada lebih banyak peluang untuk dimanfaatkan oleh kedua-dua negara, khususnya dalam industri halal dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT), robotik, pembuatan pintar, bandar pintar, trend automotif baru muncul termasuk tenaga boleh diperbaharui, yang mana syarikat Korea agak tersohor,” katanya. 

Beliau juga memuji Kedutaan Republik Korea kerana menerajui perkongsian amalan terbaik mengenai prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk menekankan kepentingan bagi kedua-dua negara agar menjalankan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan di bawah naungan LEP. 

Sepanjang tempoh 40 tahun, Korea Selatan telah menjadi salah satu pelabur asing terbesar di Malaysia daripada segi projek yang dilaksanakan, dengan jumlah nilai pelaburan lebih daripada US$10 bilion pada tahun lepas. 

Korea Selatan juga merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah US$21.30 bilion pada 2021. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon