B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia akan lancar dua inisiatif utama sebagai pemangkin kepada ekonomi digital

Malaysia akan lancar dua inisiatif utama sebagai pemangkin kepada ekonomi digital

12 Jan 2022

Malaysia memperkenalkan dua inisiatif utama yang akan memacu dan memangkin ekonomi digital serta peluang pelaburan di Malaysia dan rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata salah satunya ialah program DE Rantau yang disasarkan  menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan digital dan mempromosikan mobiliti profesional digital serta pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata inisiatif seterusnya ialah program Perdagangan Digital Malaysia yang ditubuhkan untuk memacu kebolehoperasian serta penyelarasan standard dan pendekatan kawal selia yang lebih baik untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan.

“Hab Nomad Digital adalah berbeza daripada pendekatan berasaskan lokasi di bawah MSC Malaysia. Kini ia bukan hanya Koridor Raya Kuala Lumpur atau Cyberjaya.

“Ia tidak sepatutnya eksklusif atau berdasarkan lokasi, ia sepatutnya di seluruh negara. Semestinya sekiranya kita mahu menggalakkan digital nomad, kita mesti ada kemudahan di kawasan itu, lebih-lebih lagi bagi promosi pelancongan seperti Sipadan, Pulau Langkawi atau Tioman,” katanya.

Annuar berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia di sini hari ini.

Mengenai program Perdagangan Digital, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata objektif utama program itu adalah untuk menyokong perdagangan rentas sempadan.

Beliau berkata inisiatif itu akan melibatkan pelbagai bentuk termasuk mempunyai sistem digital yang boleh melakukan urus niaga data antara negara serta perjanjian perdagangan digital yang perlu dipersetujui oleh Malaysia untuk berfungsi dengan negara lain yang telah meratifikasi perjanjian yang sama.

“Kami perlu melihat kepercayaan rentas sempadan terhadap data yang kami kongsikan juga. Di Malaysia, dan sebagai sebahagian daripada Digital Malaysia, kami akan bermula dengan projek e-invois nasional.

“Ini telah dinyatakan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), di mana kami akan melihat untuk mengurangkan dan meminimumkan ketirisan pendapatan serta hasil untuk kerajaan semasa melakukan perdagangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata mengikut data daripada MDEC dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerajaan berkemungkinan akan mempunyai sekurangkurangnya RM2.1 bilion hasil tambahan sebaik sahaja e-invois dilaksanakan, ia akan mengambil masa tiga hingga enam tahun bergantung kepada negara lain.

Minggu Ekonomi Digital Malaysia adalah sebahagian daripada 26 program perdagangan dan perniagaan diadakakan secara mingguan yang dianjurkan oleh Pavilion Malaysia untuk Ekspo 2020 Dubai.

MDEC mensasarkan untuk menarik pelaburan bernilai lebih RM300 juta serta 50 bakal perniagaan yang layak semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung dari 9 hingga 15 Januari.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X