B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lynas Malaysia boleh jadi pemangkin pelaburan tenaga hijau – COO Lynas Rare Earths

Lynas Malaysia boleh jadi pemangkin pelaburan tenaga hijau – COO Lynas Rare Earths

16 Dis 2022

Lynas Malaysia boleh menjadi pemangkin untuk pelaburan dalam sektor tenaga hijau dan mineral kritikal negara memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya pembekal utama unsur nadir bumi (REE) bukan China, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Lynas Rare Earths, Pol Le Roux.

Beliau berkata negara ASEAN lain telah berjaya menarik berbilion Pelaburan Langsung Asing dalam pembuatan hiliran magnet berprestasi tinggi dan teknologi berkaitan lain yang memerlukan unsur nadir bumi dan mewujudkan ribuan pekerjaan baharu.

“Sebagai contoh pembangunan kilang super magnet Malaysia menawarkan perkhidmatan kepada industri automotif mampu menghasilkan 5,000 tan magnet NdFeb (Neodymium Iron Boron) dan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan dan pelaburan sebanyak RM1 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena persidangan ‘Menguasai Pengetahuan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif untuk Kelestarian Masa Depan’ yang diadakan di sini semalam.

Menurut Le Roux, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dunia dalam industri yang menyokong teknologi yang digunakan setiap hari seperti kereta dan telefon pintar serta industri masa depan seperti kenderaan elektrik dan turbin angin.

Sementara itu, Naib Presiden Lynas Malaysia Datuk Seri Mashal Ahmad berkata Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya deposit nadir buminya dan aktiviti hiliran seperti retak dan larut lesap, pengekstrakan pelarut dan kemasan produk.

Mashal berkata negara berada pada kedudukan yang baik dengan kepakaran pemprosesan nadir bumi hiliran di kilang Lynas di Kuantan, Pahang dan oleh itu krisis tenaga memberi peluang kepada Malaysia untuk bergerak ke hadapan di hulu dan hiliran.

“Polisi atau rangka kerja nadir bumi negara akan menjadi langkah seterusnya yang ideal untuk menggalakkan perkembangan masa depan dalam industri hiliran Malaysia. Malaysia mempunyai kelebihan strategik sebagai satu-satunya pembekal penting produk nadir bumi bukan China dan kami boleh menggunakan kelebihan daya saing ini untuk memajukan lagi industri nadir bumi tempatan dan industri pembuatan termaju,” katanya.

Mashal berkata Lynas Malaysia telah lebih sedekad membangunkan kepakaran global dalaman dalam bidang pemprosesan nadir bumi di Lynas Malaysia dengan mewujudkan 4,600 pekerjaan dalam ekonomi Malaysia termasuk hampir 900 pekerjaan langsung dan menyumbang RM4.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak 2013.

“Malaysia memerlukan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang tinggi untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan pekerjaan di Lynas Malaysia adalah pekerjaan bernilai tinggi yang baik untuk rakyat kita. Pembangunan selanjutnya dalam industri ini akan menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu di Malaysia dan menyediakan sumber bekalan tempatan kepada industri pembuatan Malaysia termasuk kenderaan bermotor dan peralatan elektrik,” katanya.

Marshal juga berharap agar kerajaan seragamkan dan tidak mengubah peraturan mengenai pemprosesan unsur nadir bumi terlalu kerap untuk menarik dan mengekalkan pelabur dalam industri itu.

“Bagi pelabur masuk ke negara ini dan melabur berbilion dolar, mereka akan mewujudkan ribuan pekerjaan, jadi adalah penting untuk memastikan peraturan tidak kerap diubah,” katanya.

Beliau menambah Malaysia tidak harus melepaskan peluang ini mempunyai bekalan REE terbesar di luar China, mula tumpukan pemprosesan REE tempatan dan mengembangkan peranannya dalam industri pembuatan nadir bumi global dan bukannya membiarkan Vietnam menggunakan sumber Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon