B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Lima projek bernilai RM9.6 juta dilaksana tahun ini di Labuan

Lima projek bernilai RM9.6 juta dilaksana tahun ini di Labuan

03 Feb 2021

Lima projek pembangunan bernilai RM9,630,000 akan dilaksanakan di pulau bebas cukai di sini tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman.

Peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari Kementerian Wilayah Persekutuan itu adalah untuk kesinambungan empat projek iaitu Labuan Smart City Fasa 1 dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur awam Dataran Labuan, kuarters kakitangan Perbadanan Labuan dan dewan komuniti Patau-Patau 1 dengan jumlah pembiayaan RM7,630,000.

Beliau berkata projek baharu untuk tahun ini adalah pembinaan tapak pelupusan sanitari baharu dan kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air larut resap (leachate) bernilai RM2 juta, selepas semakan, dapat pengurangan berbanding anggaran kos RM31,689,000.

“Kami menerima peruntukan lebih RM9.3 juta untuk lima projek bagi pelaksanaan tahun ini dan kami akan pastikan kesemua projek ini berjalan lancar di tengah-tengah pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Dr Fary berkata projek Smart City fasa 1 bernilai RM2 juta itu adalah untuk membina siren dan tiang pintar di 13 kawasan daripada 27 kampung termasuk satu di pusat bandar.

“Pembinaan siren dan tiang pintar itu dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia untuk menyalurkan maklumat terkini mengenai cuaca dan bencana alam kepada penduduk di sini,” katanya.

Fary juga mendedahkan sekurang-kurangnya sembilan projek pembangunan telah dikemukakan untuk pembiayaan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu pembinaan kemudahan untuk perusahaan kecil dan sederhana, kerja-kerja menaik taraf bangunan Terminal Feri Labuan, Anjung Budaya dan tapak Pesta Pantai Layang-Layangan serta laluan pejalan kaki fasa 1.

Projek lain yang dicadangkan ialah infrastruktur rekreasi dan pelancongan hutan paya bakau Kina Benuwa fasa 2, jalan susur ke Fasa 1 Pulau Ular Layang-Layangan, laluan pejalan kaki berbumbung, pengindahan landskap Lapangan Terbang Labuan dan kerja-kerja menaik taraf Bandar Pintar fasa 2.

“Sembilan projek yang dicadangkan ini belum diluluskan untuk dilaksanakan tahun ini, tetapi kami akan terus meyakinkan dan berbincang dengan pegawai kementerian untuk pertimbangan kerana impaknya terhadap ekonomi dan kesejahteraan sosial,” kata Fary.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X