70,000 pekerjaan bagi setiap pertumbuhan 1.0 peratus KDNK – MIER
04 Feb 2021
Ekonomi Malaysia berkapasiti untuk mewujudkan lebih kurang 70,000 pekerjaan bagi setiap satu peratus peningkatan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Institut itu dalam kemas kini terbaharu Unjuran Ekonomi Negara 2020-2021 berkata, peluang pekerjaan mampu diadakan dalam sektor pertanian dan perindustrian baharu termasuk perkhidmatan membabitkan pendigitalan.
“Angka pengangguran juga boleh dikurangkan lagi jika graduan dan lepasan sekolah yang memasuki pasaran buruh tahun ini diberi latihan singkat untuk peningkatan kemahiran,” katanya.
Kadar pengangguran negara bertambah sebanyak 0.1 peratusan mata dari bulan ke bulan kepada 4.8 peratus pada November 2020, dengan 764,400 orang tidak bekerja.
Menurut badan pemikir itu, peluang pekerjaan merupakan kebimbangan utama dalam laluan pemulihan, sambil menambah ia menjangkakan pemulihan ekonomi sebenar akan bermula pada suku kedua tahun ini.
“Kejayaan kerajaan melancarkan vaksinasi negara mulai Februari ini adalah penting jika kita mahu mencapai matlamat ini,” katanya.
MIER juga mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 5.2 hingga 6.7 peratus bagi 2021, dengan mengambil kira unjuran daripada Inisiatif Harimau Mendekam MIER dan pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 tahun ini.
Inisiatif itu juga bertujuan membantu Malaysia meningkatkan produktiviti dan upah melalui penggunaan teknologi; membawa negara ini keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana dan mengubahnya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi untuk menjadi harimau Asia yang kelima.
Bagaimanapun, MIER menyatakan pandemik COVID-19 kekal sebagai kelemahan utama dalam kelajuan pemulihan ekonomi pada 2021, berikutan gelombang jangkitan ketiga semasa dan mutasi virus sebagai varian baharu.
Bagi usaha mengurangkan gelombang ketiga penularan COVID-19, ianya dijangka mengambil masa lebih enam sehingga sebelas bulan berbanding enam bulan dalam gelombang pertama, sambil menambah pakej rangsangan PERMAI hanya mempunyai kesan “marginal kepada neutral” ke atas ekonomi.
Usaha mengurangkan jangkitan memerlukan langkah-langkah sekatan pergerakan dan Prosedur Operasi Standard yang lebih ketat termasuk ujian komprehensif terutamanya di kilang-kilang dan tapak pembinaan; pengesanan hubungan yang meluas termasuk mempercepatkan lagi program vaksinasi.
“Tetapi sekatan ekonomi sepenuhnya perlu dielakkan kerana kesannya akan memburukkan lagi pemulihan ekonomi yang baru sahaja bermula.
“Untuk langkah jangka panjang, perbelanjaan awam dalam infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan perumahan; program pemulihan sektor perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik ini serta insentif baharu bagi merangsang pelaburan dalam sektor swasta daripada sumber domestik dan asing adalah keperluan yang utama,” tambahnya.
Sumber: Bernama