Kerajaan serah geran automasi pintar RM6.2 juta kepada 66 PKS, syarikat pertengahan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan serah geran automasi pintar RM6.2 juta kepada 66 PKS, syarikat pertengahan

Kerajaan serah geran automasi pintar RM6.2 juta kepada 66 PKS, syarikat pertengahan

04 Feb 2021

Sebanyak 66 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan telah diberikan Geran Automasi Pintar (SAG) kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) 2020.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam kenyataan hari ini berkata geran berjumlah RM6.2 juta itu diberikan kepada perniagaan berdaftar khususnya dalam aktiviti tradisional atau bukan teknologi daripada sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Pemasaran serta Ketua Jenama dan Pelaburan Digital MDEC Raymond Siva berkata geran padanan berasaskan hasil akan membantu syarikat ini mempercepatkan automasi dan mencapai keputusan yang produktif, seperti peningkatan pendapatan; penjimatan kos perniagaan; pengurangan kitaran masa proses dan jam kerja yang diluangkan; serta mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

“Setiap pemohon yang berjaya diperuntukkan sehingga 50 peratus daripada jumlah kos projek mereka, tertakluk kepada had siling sebanyak RM200,000, atau yang mana terendah, melalui geran padanan ini. 

“Ini bererti setiap pemohon yang berjaya akan membayar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah kos projek pendigitalan mereka dan seterusnya, menerima jumlah selebihnya berdasarkan hasil pencapaian kejayaan penting yang dipersetujui,” katanya.

MDEC berkata SAG yang dilancarkan pada Julai 2020 telah dikonsepkan sebagai geran sepadan kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan untuk mendorong mereka ke arah mengautomasi proses perniagaan mereka dan meneruskan pendigitalan sepenuhnya.

“Geran yang diperuntukkan daripada inisiatif PENJANA itu bertujuan memacu perniagaan ini ke arah memulakan pelaksanaan proses digital dan penggunaan alat teknologi yang akan mengautomasi operasi perniagaan mereka,” katanya.

MDEC berkata kesemua 66 penerima SAG yang diluluskan itu adalah dari seluruh Malaysia, termasuk penyedia perkhidmatan daripada perdagangan borong dan runcit (30 peratus), perkhidmatan am (24 peratus) dan perkhidmatan profesional (14 peratus).

Sektor-sektor lain terdiri daripada pengangkutan dan penyimpanan, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, kewangan dan insurans dan hartanah dan pembinaan.

Sejak dilancarkan, inisiatif ini hanya difokuskan kepada memperkasakan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan, yang merupakan aspek penting daripada tiga tonggak rangka kerja strategik MDEC: pekerjaan digital, perniagaan digital dan pelaburan digital. 

Agensi terus menetapkan asas bagi PKS dan syarikat peringkat pertengahan untuk berkembang maju dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dengan memberi tumpuan kepada memperkasakan perniagaan di setiap peringkat dan dalam semua sektor.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon