B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lawatan Muhyiddin perluaskan lagi hubungan Malaysia-Arab Saudi

Lawatan Muhyiddin perluaskan lagi hubungan Malaysia-Arab Saudi

11 Mac 2021

Kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi baru-baru ini membuka lebih ruang memperluas hubungan dua hala dalam pelbagai bidang, terutama perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan Khalid al-Falih berkata banyak pencapaian sudah dicapai setakat ini, menyaksikan Arab Saudi menjadi satu daripada rakan dagang utama dan 20 negara dari Asia Barat dengan pelaburan besar di Malaysia.

Menurut Khalid, kerajaan mempunyai dua projek pelaburan yang sedang dibangunkan di Johor bernilai 64 bilion Riyal (1 Riyal = RM1.09) dan 44 projek lain bernilai lebih 1.038 bilion Riyal, sementara Malaysia pula telah melabur dalam 38 projek di Arab Saudi dengan nilai keseluruhan 1.59 bilion Riyal.

“Visi Arab Saudi 2030 memberikan peluang pelaburan luar biasa bagi pelabur dan syarikat terkemuka di dunia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, hari ini.

Lawatan ini dilihat membawa kejayaan besar dengan termeterainya tiga perjanjian, pertama penubuhan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia, kedua berkaitan kedatangan jemaah, dan ketiga memorandum persefahaman (MoU) berhubung hal ehwal Islam. Kerajaan Arab Saudi juga bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

Dalam kenyataan sama, Menteri Perdagangan, Dr Majid Abdullah Al Qasabi, berkata pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah 67 bilion Riyal sejak lima tahun lalu dan Arab Saudi berada di kedudukan ke-13 antara negara pengeksport ke Malaysia.

“Sektor swasta berperanan penting dalam memacu kedua-dua negara mencapai kemajuan pertumbuhan dan pembangunan dalam hubungan ekonomi,” katanya.

Selain kerjasama ekonomi, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh, berkata kedua-dua negara disatukan dengan ikatan kepercayaan, kepentingan bersama dan hubungan persaudaraan.

Malaysia adalah negara pertama yang melaksanakan ‘Makkah Route Initiative’ (Inisiatif Laluan Makkah), bertujuan memudahkan jemaah haji dan umrah.

“Kementerian akan terus memperluas hubungannya dengan pihak Malaysia dalam semua bidang untuk melaksanakan Dakwah Islamiah, memelihara masjid dan meningkatkan prestasi imam serta pendakwah sesuai dengan visi kepemimpinan kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Hamad Mohammed Al Sheikh, berkata lawatan Perdana Menteri membuka lebih banyak peluang kerjasama bidang sains, penyelidikan dan inovasi dan meningkatkan kerjasama antara universiti di Arab Saudi dan Malaysia.

“Kementerian Pendidikan setiap tahun menyediakan 300 biasiswa untuk pelajar Malaysia menyambung pengajian di universiti di Arab Saudi,” katanya.

Kini terdapat 797 penuntut Arab Saudi yang mendapat biasiswa menyambung pengajian di Malaysia.

Setakat ini katanya, lebih 20 MoU dan kontrak perkhidmatan ditandatangani antara universiti di Arab Saudi dan di Malaysia.

Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan, berkata lawatan bersama kepimpinan kedua-dua negara itu mengesahkan lagi hubungan erat Arab Saudi dan Malaysia serta hasrat untuk mencapai kepentingan bersama.

Beliau berkata, pengusaha dan syarikat Malaysia diundang untuk memanfaatkan peluang pelaburan dalam pelbagai bidang yang tersedia berdasarkan Visi 2030.

Dalam kerangka usaha bersama di peringkat antarabangsa untuk memerangi COVID-19, katanya Arab Saudi telah mengambil inisiatif memberikan bantuan perubatan kepada pertubuhan antarabangsa dan pelbagai negara, termasuk Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon