B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kelestarian ‘kunci’ syarikat kekal bertahan – MITI

Kelestarian ‘kunci’ syarikat kekal bertahan – MITI

12 Mac 2021

Bagi memastikan perniagaan tempatan terus bertahan, pemain industri digalakkan untuk menerapkan model perniagaan kelestarian atau kemampanan yang turut melibatkan sumber alternatif untuk menghasilkan produk mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong melihat pandemic COVID-19 telah membuka sinar kepada kepentingan untuk menerapkan amalan kelestarian dalam kalangan komuniti perniagaan Malaysia.

Katanya, kebangkitan itu memperjuangkan nilai sejagat yang memfokuskan kepada persekitaran, masyarakat dan pentadbiran yang biasanya dikenali sebagai ESG.

“Sejak penularan pandemik, kita dapat menyaksikan transformasi ekonomi berlaku cepat dalam kalangan pemain industri terutama menuju ke arah Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDGs) yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kerajaan Malaysia menyokong SDGs kerana ia merupakan penandatanganan Perjanjian Paris yang ditandatangani di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2015.

“Idea utamanya adalah untuk menjadi inklusif dan mempertimbangkan kesejahteraan persekitaran, sosial dan pentadbiran dalam pembangunan ekonomi,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, beliau berkongsikan langkah yang diambil oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), One Tech (M) Sdn. Bhd. untuk menangani cabaran persekitaran dan keperluan dalam menghasilkan produk kayu lestari.

One Tech merupakan perintis pembuatan perabot hijau di Malaysia dan menggunakan bahan-bahan yang mampan serta tebus guna.

Kongsi Pengarah One Tech, Harith Ridzuan kepada Ban Hong, bagi menanganinya, syarikat itu mula menawarkan kelengkapan dalaman hijau pada tahun 2013.

Sejak itu, menerusi penyertaannya dalam Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), One Tech berjaya menembusi pasaran Eropah dan Amerika yang sememangnya diketahui meletakkan syarat perlindungan persekitaran ketat.

“Syarikat itu berkongsi bahawa mereka mengalami penurunan permintaan pada tahun lalu ekoran pandemik berkenaan, tetapi cepat bertindak dengan memasuki e-perdagangan.

“Sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, saya berbangga dengan inisiatif dan insentif oleh MITI menerusi agensi-agensinya yang telah membantu syarikat tempatan.

“Oleh itu, saya menyeru lebih ramai PKS untuk secara aktif berdaftar dalam program kerajaan terutamanya MITI dan 13 agensinya untuk menambah baik kesediaan mereka dalam bersaing secara global dan mencipta kejayaan di luar pasaran tempatan,” tambah Ban Hong.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon