B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aimflex rancang pelbagaikan operasi ke segmen minyak & gas, automotif & perubatan

Aimflex rancang pelbagaikan operasi ke segmen minyak & gas, automotif & perubatan

11 Mac 2021

Aimflex Bhd merancang mempelbagaikan operasinya ke segmen minyak dan gas, automotif dan perubatan dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan automasi pembuatannya. 

Timbalan Pengarah Urusannya Emma Yazmeen Yip berkata kumpulan itu optimis dengan langkah pempelbagaian tersebut untuk mempunyai portfolio pelanggan yang lebih seimbang. 

“Susulan penubuhan segmen penyelidikan dan pembangunan tahun lepas, kami berharap dapat mencapai pelan pempelbagaian itu dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran penjenamaan semula korporat Aimflex, hari ini

Kumpulan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai i-Stone Group Bhd, tersenarai di bawah Aimflex Bhd di Bursa Malaysia, berkuat kuasa 25 Feb, 2021.

Selain itu, Emma berkata kumpulan tersebut juga memanfaatkan perniagaan digital dengan mengkhususkan dalam automasi, pengurusan data, pembangunan sistem dan penyelesaian aplikasi untuk membina aliran kerja yang pintar dan mampan.

“Kami sedang mengusahakan segmen-segmen ini bagi membantu syarikat mempunyai operasi yang selamat dan kos yang efisien.  

“Ini sejajar dengan momentum aliran meningkat transformasi digital, terutamanya sejak penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Pengarah Urusannya Rebecca Tee Sook Sing berkata Aimflex merancang membuka pejabat di Filipina sebaik sahaja pandemik itu dapat dikawal kelak kerana ia mempunyai empat jurutera yang menumpukan kepada pelanggan di negara tersebut. 

Setakat 31 Dis, 2020, katanya, kumpulan itu telah menggunakan RM23 juta daripada jumlah hasil RM39 juta yang diperoleh daripada tawaran awam permulaannya, manakala bakinya akan digunakan dengan sewajarnya dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang bagi memanfaatkan perniagaan.  

Sementara itu, pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Awang Daud Awang Putera mengumumkan Aimflex akan menggunakan nisbah pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik Aimflex bagi setiap tahun kewangan, tidak termasuk sebarang pendapatan tidak direalisasi daripada pelarasan yang disebabkan dasar perakaunan. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon