B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kompleks tenaga boleh diperbaharui bakal lonjak ekonomi Sabah – Hajiji

Kompleks tenaga boleh diperbaharui bakal lonjak ekonomi Sabah – Hajiji

15 Feb 2022

Pembangunan kawasan perindustrian khusus untuk tenaga boleh diperbaharui mampu merancakkan aktiviti industri dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata potensi itu bakal dinikmati menerusi pembangunan Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) bernilai kira-kira RM1 bilion, yang akan dilaksanakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini.

Katanya, apabila siap kompleks berkenaan akan menempatkan ‘Edible Oil Bulking Terminal’ dengan kapasiti 30,000 tan metrik dan Kompleks Penapisan Minyak Sawit pertama dengan kapasiti 100,000 tan metrik setahun.

Beliau berkata, sebuah loji Minyak Sayuran Berhidrogen (HVO) yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 250,000 tan metrik setahun bagi menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) turut dibina di kompleks berkenaan nanti.

“Pembangunan SMJREIC dapat membantu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah.

“Dianggarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu dapat disediakan kepada rakyat Sabah menerusi pembangunan SMJREIC,” katanya pada pelancaran projek pembangunan kompleks berkenaan di sini, semalam.

Kompleks berkenaan akan dibina di kawasan seluas 10 hektar di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini menerusi usaha sama antara Suria Capital Holdings Bhd selaku pemilik tanah dan Vandelay Ventures Sdn Bhd.

Hajiji turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat dan rakan kongsi termasuk Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) sebagai pembekal bahan mentah, SULZER GTC Technology sebagai penyedia teknologi dan THINKAT Advisory Sdn Bhd sebagai rakan kongsi kewangan.

Katanya, menerusi projek itu, Suria Capital Holdings Bhd menambah satu lagi portfolio pelaburan berpotensi dalam senarai usaha niaga dipacu pihak swasta yang berjaya di negeri ini.

“Saya juga gembira kerjasama ini membabitkan Suria Capital Holdings Berhad selaku antara syarikat awam berhad yang mempunyai reputasi tinggi di negeri ini yang akan memainkan peranan besar dalam membantu memastikan projek berdaya maju ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Hajiji berkata Sabah dikurniakan banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menawarkan prospek kukuh untuk menyumbang secara signifikan kepada negeri dan negara untuk menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi.

“Kerajaan negeri secara agresif menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih melalui program yang dapat mempercepat pertumbuhan ekonomi dan membentuk serta mengukuhkan sektor tenaga baharu dan industri hijau Sabah.

“Selain memberi peluang untuk menggunakan tenaga secara cekap sambil mewujudkan persekitaran lebih baik melalui penggunaan sistem tenaga bersepadu dan fleksibel yang meningkatkan nisbah penjimatan tenaga, teknologi hijau juga menawarkan faedah alam sekitar yang lain termasuk peningkatan perlindungan kepada ekosistem dan biodiversiti, kualiti udara dan air serta pengurangan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu mengambil langkah penting memberi tumpuan kepada faedah teknologi hijau berikutan penekanan global terhadap perubahan iklim dan kehidupan mampan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon