B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KMI Healthcare sasar bina empat hospital baharu menjelang 2025

KMI Healthcare sasar bina empat hospital baharu menjelang 2025

25 Okt 2021

Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) milik kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pembinaan empat lagi hospital
baharu dalam tempoh lima tahun lagi, iaitu sebahagian daripada pelan pembangunan strategiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata empat hospital tersebut ialah di Kemaman; Temerloh di Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan di Pulau Pinang.

“Pembinaan hospital dalam masa terdekat ialah di Kemaman dengan kapasiti 100 katil di tanah seluas 2.18 hektar milik Majlis Perbandaran Kemaman yang dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

“Hospital itu dijangka beroperasi pada 2025 dengan kos pembinaan lebih RM100 juta. Apabila siap kelak, penduduk di bahagian selatan Terengganu berpeluang menikmati perkhidmatan kesihatan dan rawatan kepakaran yang berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KMI Healthcare dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini, yang disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir Pengerusi KMI Healthcare Raja Datuk Idris Raja Kamarudin dan Yang Dipertua MPK Jusman Ibrahim.

KMI Healthcare ialah bahagian penjagaan kesihatan milik TDM Berhad, anak syarikat negeri Terengganu iaitu sebuah syarikat korporat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan dua bidang iaitu penjagaan kesihatan dan perladangan.

Mengulas lanjut, Dr Rayney Azmi berkata keistimewaan rangkaian hospital milik KMI Healthcare ialah menyediakan bilik persendirian yang membolehkan pesakit menikmati bilik privasi dengan perhatian jururawat perubatan secara khusus.

“Selain itu, KMI Healthcare juga cuba menerapkan konsep mesra ibadah dalam setiap cara kerja atau rawatan yang diberikan kepada pesakit. Aspirasi kami seterusnya adalah untuk menjadi rangkaian hospital yang patuh syariah dan diyakini oleh masyarakat setempat kerana kualiti perkhidmatan terbaik yang disediakan,” katanya.

Ketika ini, terdapat lima hospital di bawah rangkaian KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre di sini; KMI Kuantan Medical Centre, Pahang; KMI Kelana Jaya Medical Centre, Selangor; KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah.

Ditanya sasaran pendapatan KMI Healthcare daripada lima hospital sedia ada, beliau berkata pihaknya menjangka pendapatan sebanyak RM220 juta sebelum akhir tahun ini.

“Setakat September, KMI Healthcare telah memperoleh RM163 juta dan kita yakin sasaran RM220 juta itu dapat dicapai dalam tempoh lebih dua bulan lagi,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon