B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Xin Hwa sasar manfaatkan permintaan terhadap ruang gudang, khidmat logistik

Xin Hwa sasar manfaatkan permintaan terhadap ruang gudang, khidmat logistik

25 Okt 2021

Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, Xin Hwa Holdings Bhd optimis terhadap prospek syarikat itu, didorong oleh lonjakan keperluan terhadap ruang gudang selain pemulihan perkhidmatan logistik susulan pembukaan semula sektor ekonomi.

Malah, Pengarah Urusannya Ng Aik Chuan berkata syarikat tersebut menyasarkan untuk memulakan operasi kemudahan pusat e-penunaian terbaharu di Shah Alam, menjelang akhir bulan ini.

“Pembukaan kapasiti baharu ini bertepatan pada masanya bagi merebut permintaan ketara terhadap keperluan ruang simpanan. Ini akan menambah keluasan sebanyak 300,000 kaki persegi ke atas kapasiti gudang sedia ada yang berjumlah 672,000 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ng berkata syarikat itu turut mendapat sambutan baik dan salah satu penyewa baharu yang juga sebuah syarikat perkhidmatan kurier dikenali, telah menyewa ruang berkeluasan sehingga 70,000 kaki persegi.

Pusat e-penunaian itu yang terletak di lokasi strategik bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), menawarkan kemudahan dalam bentuk bangunan pejabat tujuh tingkat serta gudang tiga tingkat.

Beliau menyifatkan bangunan serba guna itu tidak hanya sesuai bagi kegunaan simpanan kargo tetapi juga sesuai untuk mengendalikan logistik e-dagang.

Dalam pada itu, Ng berkata syarikat itu turut menambah dua lagi gudang secara pajakan bagi tempoh pasaran lebih cepat dalam usaha memanfaatkan permintaan kukuh terhadap ruang gudang tersebut.

Sebuah gudang baharu berkeluasan 100,000 kaki persegi di Klang yang dibeli pada September 2021, juga mencatatkan penyewaan penuh manakala kemudahan gudang berkapasiti 44,000 kaki persegi di Kuantan akan mula beroperasi bulan depan dengan kadar pengambilannya mencecah 100 peratus.

Oleh itu, kesemua tiga kemudahan gudang baharu di Shah Alam, Klang dan Kuantan secara keseluruhannya akan melonjakkan ruang gudang Xin Hwa sebanyak 66.1 peratus kepada 1.12 juta kaki persegi daripada 672,000 kaki persegi pada masa ini.

Bagi segmen logistiknya, Xin Hwa turut menawarkan perkhidmatan kargo projek — pengangkutan struktur besar, berat dan sukar yang memerlukan perancangan awal serba teliti dan penggunaan kenderaan khas serta tenaga kerja mahir.

“Sehubungan itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur mega yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 akan memberi peluang untuk kami. Malah, kami menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan kargo projek akan meningkat.

“Kami berpengalaman luas dalam bidang itu dan telah melaksanakan pelbagai tugas-tugas kargo projek untuk Transit Aliran Massa dan sektor swasta selain tugasan di Singapura dan Indonesia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon