B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang sarung tangan sedia 4,000 peluang pekerjaan

Kilang sarung tangan sedia 4,000 peluang pekerjaan

05 Mei 2021

Perak bakal membina kilang sarung tangan getah di tapak perindustrian Bemban II, Sungai Terap, Batu Gajah di sini, membabitkan pelaburan mencecah RM800 juta.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata projek berskala besar itu dirangka melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Professional Latex Sdn Bhd di atas tanah seluas 18.3 hektar dan dijangka membuka 4,000 peluang pekerjaan.

“Projek membabitkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan bagi fasa pertama dijadual bermula pada 2023 hingga 2024 membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

“Apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 bilion sarung tangan setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian antara PKNPk dan Professional Latex Sdn di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Saarani berkata, anggaran penghasilan sarung tangan itu berdasarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dalam aktiviti seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain garis panduan pematuhan sosial seperti yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar sebagai sebahagian daripada pendekatan penting kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui pembabitan aktif sektor swasta sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

“Pelaburan ini bersifat strategik memandangkan penularan pandemik COVID-19 meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor yang berkaitan penjagaan kesihatan.

“Pasaran eksport bagi sarung tangan getah negara pada tahun ini dianggarkan mencecah 220 bilion unit, iaitu 67 peratus daripada permintaan dunia,” katanya.

Beliau berkata, justeru diharapkan pemeteraian perjanjian antara PKNPk dan Professional Latex ini akan memberi faedah berterusan kepada negeri melalui pertumbuhan jangka panjang, kewujudan peluang pekerjaan, meningkatkan aspek kemahiran dan memangkin pembudayaan inovasi.

“Kerajaan negeri melalui PKNPk akan meneruskan usaha dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan serta mencipta lebih banyak peluang bagi mewujudkan kerjasama strategik dengan sektor swasta pada masa hadapan.

“Saya yakin, dengan pelbagai insentif seperti galakan pelaburan, ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, akses kemudahan logistik, kadar upah buruh yang masih kompetitif, serta elemen ‘livability’ yang baik di negeri Perak akan menarik lebih banyak syarikat tempatan mahupun luar negara untuk bertapak di Perak,” katanya.

Pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan, PKNP diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak sementara Professional Latex diwakili Pengarah Eksekutifnya Lim Sin Kooi.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon