B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lapangan terbang Subang disasar jadi hab MRO Asia Pasifik

Lapangan terbang Subang disasar jadi hab MRO Asia Pasifik

05 Mei 2021

Malaysia Airports bekerjasama dengan Persatuan Penerbangan Perniagaan Asia (AsBAA) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan Asia Pasifik untuk perniagaan penerbangan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Langkah itu sejajar dengan inisiatif Regenerasi Lapangan Terbang Subang.

Untuk itu, kedua-dua pihak memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan menyaksikan kerjasama erat antara AsBAA dan Malaysia Airports.

Menerusi MoU itu, AsBAA akan memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dari pelbagai bidang dan membantu dalam perancangan lapangan terbang, sementara Malaysia Airports akan melabur untuk mengembangkan infrastruktur dan kapasiti untuk manfaat kepada peserta penerbangan.

AsBAA adalah organisasi perdagangan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili lebih 150 peserta penerbangan dan pakar industri.

Ketua KLIA Aeropolis Malaysia Airports, Randhill Singh, berkata Subang Airport mahu menjadi pusat sehenti dalam menyediakan perkhidmatan ‘end-to-end’ yang dilengkapi infrastruktur canggih dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pangkalan keempat terbesar untuk armada jet perniagaan di Asia Pasifik.

Beliau berkata, pada masa ini, juara global dalam perniagaan penerbangan beroperasi di lapangan terbang itu dengan kehadiran Dassault Aviation melalui cabang MROnya, Execujet MRO Services dan disokong oleh syarikat utama tempatan lain seperti Sapura Aero, Smooth Route, Berjaya Air.

“Lapangan terbang ini terkenal dengan komuniti perniagaan penerbangan yang khusus dalam MRO, operasi berpangkalan tetap, pengurusan pesawat, sokongan darat dan juga perkhidmatan sokongan perjalanan.

“Oleh itu, perkongsian kami dengan AsBAA akan memberi manfaat bukan hanya kepada kami tetapi juga penyewa dan rakan kongsi kami dengan maklum balas dan kemas kini mengenai perkembangan terkini di rantau Asia Pasifik mengenai sektor perniagaan penerbangan atau industri penerbangan am,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Randhill berkata, pihaknya juga dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan ahli AsBAA di platform sedia untuk memperoleh faedah bersama dan memberikan penyelesaian sinergi yang akan mengukuhkan lagi ekosistem aeroangkasa dan penerbangan di Subang.

Sementara itu, Ketua AsBAA Chapter Malaysia, Aida Ismail, berkata Malaysia Airports adalah komponen penting untuk pengembangan industri.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama secara strategik dengan pasukan Malaysia Airports.

“Sebagai organisasi yang mewakili pengguna akhir dan penggerak industri, AsBAA komited untuk menyokong Malaysia Airports dan inisiatifnya. Persatuan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airports untuk pembaharuan MOU penting ini,” katanya.

Malaysia Airports dan AsBAA pertama kali memeterai MoU di Pameran Udara Singapura pada 2018.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon