B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang makanan haiwan guna isirung sawit di Terengganu

Kilang makanan haiwan guna isirung sawit di Terengganu

23 Mei 2022

Sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit bernilai kira-kira RM20 juta, bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perbincangan diadakan secara terperinci dengan pakar formulasi makanan untuk haiwan ternakan supaya kilang ini mampu mengeluarkan alternatif, selain penggunaan jagung bijian dan kacang soya.

“Kita akan gunakan sisa isirung kelapa sawit sebagai bahan utama makanan haiwan ternakan yang akan diproses di kilang ini dan apabila beroperasi kelak, ia dijangka mampu memenuhi 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di negeri ini,” katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu di sini, hari ini.

Terengganu mempunyai sumber sisa isirung kelapa sawit yang banyak kerana terdapat puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit milik GLC negeri seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd.

Azman berkata, bagi menggantikan kacang soya sebagai sumber protein makanan haiwan ternakan pula, formulasi digunakan kilang itu nanti ialah campuran ikan tilapia hitam dan ikan baja.

“Ikan tilapia hitam ini jarang dimakan dan harganya pula murah, jadi tiada masalah kerana sumbernya terlalu banyak serta boleh didapati daripada nelayan tempatan, begitu juga dengan ikan baja.

“Harga untuk setiap satu beg (50 kilogram) makanan haiwan ternakan ini mampu dijual lebih rendah iaitu sekitar RM35 saja berbanding RM70 ketika ini dan ia dapat membantu penternak mendapatkan makanan haiwan dengan lebih murah, sekali gus merancakkan lagi industri ternakan di Terengganu,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon